Gerakan Tajdid Semasa

Posted By Dr Nizam on February 24, 2009

Harus Berhemah dan Budiman
Oleh : Mohd Nizam bin Sahad

Gerakan Tajdid dalam konteks sejarah Malaysia, bukanlah gerakan yang baru di Malaysia. Begitu juga dengan gerakan tradisional. Masing-masing pernah menyumbang ke arah pemahaman Islam kepada masyarakat Melayu dengan cara atau manhaj yang berbeza. Dewasa ini kedua-kedua aliran ini mempunyai kepimpinan dan pengikut masing-masing. Ada yang bergerak secara rasmi melalui badan-badan bukan kerajaan dan juga secara tidak rasmi dalam bentuk individu yang mahu kehidupan dan pemikirannya selari dengan manhaj gerakan tajdid atau tradisional. Kedua-dua gerakan ini lebih hampir didampingi oleh masyarakat Melayu yang lebih tinggi kesedarannya terhadap agama dan ingin melihat agama ditegakkan dalam masyarakat. Namun penulisan artikel ini lebih tertumpu kepada gerakan tajdid, selaku gerakan semasa yang menampakkan pengaruhnya dalam kalangan masyarakat terutamanya golongan belia.

Pengertian Tajdid

Berhubung dengan pengertian tajdid, Yusuf al-Qaradawiy menjelaskan tajdid berlaku dalam bentuk fizikal dan maknawi. Tajdid fizikal contohnya ialah seperti memperbaharui bangunan klasik seumpama istana, rumah ibadat atau masjid. Pembaharuan bukanlah bererti meruntuhkan bangunan lama lalu dibina bangunan menurut model terbaru pada tapak lama, tetapi dikatakan pembaharuan itu dengan mengekalkan bangunan lama dengan memulih bentuknya yang asal dengan segala panoramanya. Itulah Tajdid hakiki. Tajdid maknawi pula berlaku umpamanya pada agama sama ada dalam bentuk pembaharuan kefahaman (tajdid fikri) atau tajdid amal yang meliputi tajdid imani dan tajdid ruhi. Justeru itu setiap masa diperlukan pembaharuan (tajdid) yang sesuai dengan tuntutan zaman dan lingkungan bagi menampung mana-mana kecacatan yang timbul, menyempurnakan kekurangan yang wujud atau merawati mana-mana penyakit yang ada.   Abu ‘Ala al-Mawdudi (m.1979) menyatakan bahawa tajdid merupakan suatu keperluan bagi umat untuk memurnikan semula kefahaman dan amalan Islam sebaik sahaja dinodai oleh unsur jahiliyyah.

Matlamat Mentajdidkan Masyarakat

 Matlamat tajdid adalah untuk mengislahkan masyarakat ke arah memahami dan menjalankan tanggungjawab agama secara mudah dan berbetulan dengan al-Qur’an dan Sunnah yang sahih. Islam seperti yang ditunjukkan oleh al-Qur’an dan al-Sunnah merupakan suatu agama yang Wasit yang tidak mengambil sikap ekstrim kanan atau kiri atau apa yang disebut oleh nabi sebagai La Ifrat wa La Tafrit. Malah banyak ingatan supaya tidak keterlaluan dalam apa-apa aspek pun termasuk ibadat, solat, puasa, sedekah dan gaya hidup. Apa lagi dalam suasana umat yang tidak mempunyai tarbiah yang cukup tinggi. 

 Memetik ucapan Dr Mohd Asri Zainul Abidin, bekas Mufti Kerajaan Perlis Darul al-Sunnah, Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah (m.728H) menyatakan : “Sesungguhnya agama Allah ini adalah pertengahan antara melampau dan yang meninggalkannya. Allah tidak memerintahkan hamba-hamba-Nya sesuatu melainkan syaitan akan menganggunya dengan dua cara. Syaitan tidak kisah yang mana satu dia berjaya iaitu sama ada secara ifrat (melampaui batasan yang sepatutnya dalam beragama) atau tafrit (cuai terhadap agama). Justeru, Islam adalah agama Allah yang tidak boleh diambil ajarannya daripada sesiapa pun selain Allah. Maka syaitan menganggu kebanyakan mereka yang mengaku mengikut ajaran Islam. Sehingga syaitan berjaya mengeluarkan mereka daripada syariat. Bahkan syaitan berjaya mengeluarkan banyak puak umat ini yang terdiri daripada mereka yang kuat beribadah dan warak sehingga menjadikan mereka keluar daripada agama seperti mana melurunya anak panah daripada busurnya.”

 Mengembalikan masyarakat Melayu kepada al-Qur’an dan al-Sunnah dalam penghayatan agama dengan berlandaskan seperti apa yang difahami oleh generasi awal Islam dan kurun-kurun terbaik (tiga kurun pertama) serta golongan yang dinamakan salaf al-solih merupakan usaha murni yang harus disokong sama ada yang membawanya berada di pihak kerajaan atau pembangkang, sama ada dia berjamaah atau bersendirian. Khilaf yang berlaku dalam sesuatu perkara mesti dihujahkan dengan al-Qur’an dan al-Sunnah secara ilmiah. Penulis menyokong pendirian ini, di mana masyarakat Melayu seharusnya lebih memahami kehendak agama berdasarkan al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Masyarakat harus peka dan lebih bertanggungjawab untuk melaksanakan tuntututan agama berdasarkan hujah yang sahih dan jelas dalam al-Qur’an mahupun hadith. Sikap sekadar bertaklid dan mempertahankan fahaman dan amalan yang sah tiada asalnya dan tiada sandarannya hanya melihatkan ketegasan yang tidak bertempat. Sekiranya ada hujah sekali pun, maka hendaklah dilihat hujah di pihak mana yang lebih hampir kepada ruh Islam sebenar. Sikap sebegini lebih mampu mengharmonikan pegangan dan amalan Islam dalam kalangan masyarakat Melayu.

Pengislahan Awal dalam Gerakan Tajdid

Namun demikian, gerakan tajdid harus perlu berhati-hati dalam mengerakkan usaha mereka menjadikan gerakannya sebagai arus utama dalam masyarakat dengan tidak bertindak secara keterlaluan dan menguris perasaan sasaran dakwah mereka. Apatah lagi jiwa Melayu itu sensatif dan amat berpegang dengan prinsip kesopanan dan kesusilaan.  Sebagai contoh dalam tutur bicara, perkataan yang kasar, sikap garang, bengis hendaklah dijauhi agar sasaran dapat menerimanya.

Kepimpinan gerakan pembaharuan dan anak buah yang mengekorinya juga harus lebih bersikap simpati kepada sasaran dakwah sama ada sasaran tersebut orang awam, golongan tradisional atau kepimpinan agama masyarakat dari peringkat atasan sehinggalah kepada peringkat bawahan dengan tidak sesekali memperlekehkan mereka. Ungkapan kepada sasaran dakwah, walaupun ia salah atau tersalah dengan kata-kata ‘mangkuk’  dan ‘bingung’  bukanlah sesuatu yang manis dari sudut agama dan peradaban Melayu. Kalau dirujuk pengertian ungkapan tersebut dalam Kamus Dewan, perkataan ‘mangkuk’ adalah perkataan yang dikategorikan sebagai bahasa kasar  yang membawa maksud kata yang membawa maksud menghina atau mempermain seseorang atau bodoh manakala perkataan ‘bingung’ dalam konteks memperihalkan orang lain pula bermaksud bodoh, dungu dan tolol.

Penggunaan perkataan sebegini oleh segelintir kepimpinan gerakan tajdid mungkin berlaku secara tidak disengajakan atau disengajakan. Mungkin kerana emosi dan kemarahan kepada sasaran. Namun, dari sudut impaks persepsi orang ramai selaku penyokong gerakan, orang yang neutral dan sasaran yang ditempelak sudah tentu juga berbeza maklum balasnya. Penyokong gerakan tajdid mungkin ada yang tertawa, seronok dan terhibur dengan lagak kepimpinannya. “Nah, ambil kau, tak nak sangat dengan pembaharuan, masih mahu bertaklid, lalai sangat dengan kepimpinan agama yang dipegang sehingga dapat gelaran ‘mangkuk’ dan ‘bingung’.” Ini sekadar telahan.

Orang yang neutral juga atau orang yang masih belum masuk ke dalam gerakan tajdid ini juga sudah tentu akan menilai lagak kata ini sebagai sesuatu yang tidak dapat diterima. Walaupun ‘ustaz’ atau ‘pak lebai’ itu pernah buat salah atau cara berfikirnya salah, janganlah sampai ‘dimangkuk’ dan dibingungkan atau dibodoh atau ditololkan. Ini juga telahan. Besar kemungkinan yang neutral juga semakin jauh dari gerakan tajdid.

Apatah lagi bagi yang disasarkan ungkapan sebegitu. Sudah tentu terasa dan bukan sekadar terasa, pasti ada yang marah dan membuak-buak pula kemarahannya. Mana tidaknya diri mereka dikatakan sebagai ‘mangkuk’ dan ‘bingung’. Mungkin ada yang kata, kalau dah terasa sudah tentu benar pula tuduhan ke atas mereka. Tetapi adakah itu yang kita inginkan. Satu kemenangan di pihak dan satu kekalahan di pihak yang lain. Lebih parah, sudah tentu golongan ini menjauhi gerakan tajdid dan seterusnya bertindak defensif sehingga tidak memungkinkan kesatuan. Mungkin inilah ‘perpecahan’ yang dimaksudkan oleh segelintir yang hadir dalam seminar sehari bertajuk “Islam Itu Mudah”. Masyarakat Melayu semakin berpecah bila mana berhemah dan berbudiman diketepikan. Ini juga sekadar telahan yang mungkin betul dan mungkin salah. Penulis bertanggungjawab terhadap telahan ini.

 Hakikatnya, Islam menganjurkan supaya kita berwaspada dengan bahaya lidah. Bahaya lidah boleh datang dalam bentuk seperti menghina, mencela, merendah-rendahkan pihak lain, mencerita keaiban orang lain dan mengumpat. Allah S.W.T. berfirman :

Terjemahannya : “Hai orang yang beriman, janganlah kaum lelaki menghina kaum lelaki (yang lain) kerana boleh jadi kaum yang dihina itu lebih baik dari kaum yang menghina dan jangan pula kaum perempuan (menghinakan) kaum perempuan (yang lain), kerana boleh jadi perempuan yang dihinakan itu, lebih baik dari perempuan yang menghina. Janganlah kamu cela-mencela sesama kamu dan jangan pula panggil memanggil dengan gelaran (yang tidak baik). Seburuk-buruk nama ialah fasik sesudah keimanan. Barang siapa yang tiada bertaubat, maka mereka itulah orang yang aniaya.” (11) Hai orang yang beriman, jauhilah kebanyakan sangkaan buruk kerana sebahagian sangkaan buruk itu ialah dosa. Dan janganlah kamu mencari-cari aib orang dan jangan pula setengah kamu mengumpat yang lain. Sukakah salah seorang dari kamu, bahawa ia memakan daging saudaranya yang telah mati (bangkainya) ? Maka tentu kamu benci memakannya. Takutlah kamu kepada Allah. Sesungguhnya Allah Penerima taubat lagi Penyayang. (12)      (Surah al-Hujurat 49 : 11 &12)

 Orang Islam juga dikehendaki supaya sentiasa menjaga komunikasi verbal dan bukan verbal supaya tidak menyakiti hati saudaranya. Rasulullah s.a.w. bersabda :

“Orang Islam itu ialah mereka yang sejahtera sekalian orang Islam dari (bahaya ancaman) lidah dan tangannya dan orang yang muhajir (yang berpindah) ialah mereka yang menjauhi apa yang dilarang Allah S.W.T.” (Muttafaq ‘alaih). Sabdanya lagi : “Sesungguhnya Allah S.W.T membenci orang yang menyakiti hati dan perasaan orang-orang yang beriman.” (Riwayat Imam Ahmad)

 Berkomunikasi secara baik atau bercakap secara sopan dianggap seperti satu amalan sedekah dalam Islam yang diberi pahala dan ganjaran oleh Allah S.W.T.  Rasulullah s.a.w. bersabda :

“Takutilah kamu terhadap bakaran api neraka, walau dengan menderma setengah daripada buah tamar, dan sekiranya kamu tidak berkemampuan, maka hendaklah kamu bercakap perkataan yang baik-baik.” (Muttafaq ‘alaih)
Berdasarkan sandaran dalil di atas, adalah lebih manis dan bertepatan dengan pembawaan al-Qur’an dan al-Sunnah, bahasa-bahasa kasar tidak terpacul keluar dari mulut kepimpinan gerakan tajdid dan pengikutnya. Dalam hal ini, penulis amat bersetuju dengan saranan Prof Dato’ Mahmood Zuhdi bin Abdul Majid supaya gerakan tajdid semasa ini lebih menunjukkan rasa simpati kepada sasaran yang mungkin tidak memahami atau tidak mengerti. Anggaplah sasaran tersebut sebagai manusia biasa yang melakukan kesalahan yang perlu ditegur dengan penuh hikmah atau bijaksana.

Akhir sekali, penulis mengalu-alukan minat masyarakat terhadap agama sama ada dalam kalangan profesional dan masyarakat awam dengan gerakan tajdid ini. Namun kepimpinan gerakan dan pengikutnya harus menggunakan manhaj yang lebih sopan dalam tutur kata dan bicara, mudah-mudahan dengan cara tersebut kita lebih memberi sumbangan agar minat orang ramai menyahut pembaikan dan pengislahan yang cuba dilakukan oleh gerakan tajdid. Hindarkanlah kata-kata kesat dan kutukan sehingga menyebabkan sasaran semakin jauh dari usaha murni gerakan tajdid. Bersyarah dan berbincanglah dalam suasana yang disulami rasa kasih sayang persaudaraan Islam dengan penuh jujur dan penuh rasa hormat dan semoga kesatuan umat Islam kukuh sepanjang zaman.

Sekian, dan anggaplah pandangan ini sebagai pandangan peribadi saya dengan niat sayangkan gerakan tajdid yang murni ketulusan matlamatnya. Terima kasih.

About the author

Dr Nizam

Pensyarah Bahagian Pengajian Islam Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan Universiti Sains Malaysia 11800 PULAU PINANG

Comments

Leave a Reply