Kempen Boikot Barangan Israel/Amerika Wajib Berterusan

Posted By Dr Nizam on February 3, 2009

untitled3

Semua maklum akan kekejaman Yahudi terhadap rakyat Muslim Palestin yang merupakan saudara seIslam kita. Di pihak kita selaku saudara sudah tentu terasa sama keperitan rakyat Palestin menghadapi serangan kejam tersebut. Apa yang kita dapat lakukan? Sudah tentu kita tidak mampu mengangkat senjata secara fizikal untuk menentang musuh Allah buat masa ini. Itu realitinya. Namun kita boleh mengangkat tangan berdoa untuk kemenangan mujahid-mujahid di sana. Bukankah ‘Doa senjata orang mukmin’. Oleh sebab itu, kita harus sedar bahawa doa untuk kesejahteraan orang Islam seluruhnya harus diungkap setiap hari sebagai tanda kita memiliki jiwa yang sedar terhadap sabdaan Nabi s.a.w: “Orang mukmin itu laksana binaan…”
Dalam hal ini kita harus menjadi muslim yang sedar akan tanggungjawab kita untuk berdoa, bersolat hajat untuk kemenangan mujahid-mujahid Palestin. Namun dalam hal ini ada juga yang tidak peka. Pengalaman penulis di Masjid USM, bila diumumkan untuk solat hajat selepas solat Jumaat, ramai yang tidak menyahuti. Di mana rasa keprihatinan kita…???
Kedua, kita harus menyahut seruan BOIKOT dan sahutan itu harus berterusan secara sedaya mungkin untuk tidak membeli dan menggunakan barangan keluaran Israel dan Amerika. Selagi terdaya dalam erti kata, kita peka dan sedar seandai keperluan itu sekadar tahsiniyyat maka perlulah diboikot. Namun demikian seandainya keperluan itu dalam kategori hajiyyat dan tiada keluaran orang Islam seperti processor komputer, maka adalah diharuskan kita manfaatkannya. Namun demikian, dalam jangka panjang perlu ada kesedaran bahawa satu hari nanti kita orang Islam akan mengeluarkan sendiri barangan sedemikian.
Dalam usaha pemboikotan ini, ada juga suara-suara yang mengatakan bahawa jika diboikot bagaimana kedudukan pekerja Islam di syarikat Yahudi itu? Bagaimana jika kuasa besar Amerika ambil tindakan boikot terhadap kita negara Islam?   Ungkapan berbaur perasaan takut ini masih ada dalam kalangan orang Islam. Barangkali ada impak dan kesannya secara langsung dan tidak langsung hasil tindakan boikot ini. Namun dari satu sudut harus kita lihat bahawa kejatuhan syarikat-syarikat Yahudi memberi ruang dan peluang keemasan kepada kita umat Islam untuk membina syarikat baru dan mengambil alih pengeluaran barangan pengguna. Hal ini terbukti dari pengalaman. Tatkala Amerika Syarikat menyerang Iraq dalam Perang Teluk, umat Islam memboikot coca-cola sehingga permintaannya merudum. Dalam masa yang sama permintaan terhadap zam-zam cola keluaran negara Islam Iran (kalau tak salah saya) meningkat sehingga tidak mampu memenuhi permintaan pengguna. Tidakkah ini menguntungkan ekonomi negara-negara Islam.
Ketiga, usaha pemboikotan ini juga perlu supaya syarikat-syarikat Islam mampu pergi jauh dan maju dan mampu memberi dana keuntungan sebahagiannya kepada perjuangan umat Islam di Palestin dan di mana-mana sahaja pejuang Islam yang mempertahankan kedaulatan agama Islam yang suci.
Penulis ingin memetik firman Allah dalam surah al-Taubah, ayat 12-14:
 
12. Dan jika mereka mencabuli sumpahnya sesudah mengikat perjanjian setia, dan mereka pula mencela ugama kamu, maka perangilah ketua-ketua dan pemimpin-pemimpin kaum Yang kafir itu, kerana Sesungguhnya mereka tidak menghormati sumpah janjiNya, supaya mereka berhenti (dari kekufuran dan bertaubat).
13. Mengapa kamu tidak memerangi suatu kaum Yang telah mencabuli sumpah janjiNya, dan mereka pula telah berazam hendak mengusir Rasulullah, dan merekalah juga Yang mula-mula memerangi kamu? tidak patut kamu takut kepada mereka (sehingga kamu tidak mahu memeranginya) kerana Allah jualah Yang berhak kamu takuti (melanggar perintahNya), jika betul kamu orang-orang Yang beriman?
14. Perangilah mereka, nescaya Allah akan menyeksa mereka Dengan (perantaraan) tangan kamu, dan Allah akan menghinakan mereka serta menolong kamu menewaskan mereka, dan ia akan memuaskan hati orang-orang Yang beriman.
Dan ayat 20 hingga 22,
 
20. (Sesungguhnya) orang-orang Yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah Dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah (daripada orang-orang Yang hanya memberi minum orang-orang Haji dan orang Yang memakmurkan Masjid sahaja); dan mereka itulah orang-orang Yang berjaya.
21. Mereka digembirakan oleh Tuhan mereka Dengan pemberian rahmat daripadanya dan keredaan serta Syurga; mereka beroleh di Dalam syurga itu nikmat kesenangan Yang kekal.
22. Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Sesungguhnya Allah, menyediakan di sisiNya pahala Yang besar.
 Renungilah ayat-ayat di atas yang membicarakan tentang jihad menentang musuh-musuh Allah. Bagaimana tidak seharusnya kita bimbang dan takut untuk jatuh miskin dalam rangka menentang musuh Allah dengan cara PemBOIKOTan ini. Insafilah dengan melihat anak-anak kecil Palestin terbunuh dek kerana kekejaman Zionis. Allah menjanjikan pahala dan kehidupan yang lebih baik dan bererti di akhirat bagi umat Islam yang menelusuri jalan jihad. Tidakkah akhirati itu lebih baik dan kekal?
Ringkasnya, usaha Pemboikotan ini harus disahut dan dilakukan secara berterusan untuk melumpuhkan kekuatan ekonomi orang Yahudi dan dilakukan dengan penuh sedar dan insaf bahawa kita wajib menjayakan misi boikot ini.

About the author

Dr Nizam

Pensyarah Bahagian Pengajian Islam Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan Universiti Sains Malaysia 11800 PULAU PINANG

Comments

Leave a Reply