(sumber: http://www.geocities.com/kmbedu/sisakhlakislam.html)

 


 
PENDAHULUAN
 Permasalahan akhlak adalah merupakan permasalahan besar yang dihadapi oleh semua umat Islam di dunia, kerana akhlak adalah merupakan tunggak pembangunan atau keruntuhan sesuatu Ummah.
 Di pandang dari sudut realiti masyarakat dunia hari ini, ternyata sekali bahawa dunia sedang  menghadapi keruntuhan akhlak yang amat tenat.  Nilai-nilai kemanusiaan, kebaikan telah dan sedang tergugat.  Neraca yang digunakan oleh masyarakat  dan individu dalam menilai sesuatu yang baik buruk tidak lagi menurut lunas-lunas yang sepatutnya, malah kebanyakkannya adalah menurut runtunan hawa nafsu yang dilahirkan oleh fahaman-fahaman yang bersifat kebendaan.


 
DEFINASI AKHLAK
 Menurut istilah bahasa akhlak bererti tabiat, kebiasaan dan marwah.  Ilmu akhlak adalah sejenis ilmu falsafah amaliah, disebut  juga dengan  falsafah akhlak.
 Menurut istilah ilmu akhlak, akhlak memberi erti : serumpun nilai-nilai dan sifat-sifat yang sebati di dalam diri seseorang.
 
PENTINGNYA AKHLAK
Akhlak amatlah penting kepada kehidupan manusia kerana :
1. Akhlak amat  besar pengaruh dan kesannya terhadap tindak tanduk dan gerak langkah seseorang.  Baik dan buruknya perlakuan seseorang adalah bergantung kepada nilai akhlak mereka.
2. Untuk meningkatkan insaniah insan sehingga ke tahap sesuatu ummah insaniah yang benar-benar tinggi dan berkualiti.
3. Untuk membuat penilaian yang tepat terhadap sesuatu perbuatan.  Bertolak dari titik ini, salah atau benarnya penilaian yang dilakukan oleh seseorang adalah bergantung rapat dengan buruk atau baiknya nilai-nilai akhlak yang terdapat dalam diri seseorang.  Penilaian yang dilakukannya  ini akan sejajar dengan nilai-nilai akhlak yang terdapat dalam dirinya.
4. Untuk keharmonian, kesejahteraan, kedamaian, keamanan dan kebahagiaan semua anggota  dalam  masyarakat dari perbagai lapisan dan darjat satu kedudukan.
 
KEDUDUKAN AKHLAK DALAM
Akhlak mendapat kedudukan yang tinggi dalam Islam, ini dapat dilihat dari beberapa sebab:
 
1. Islam telah menjadikan akhlak sebagai illat (alasan) kenapa agama Islam diturunkan.  Hal ini jelas dalam sabda Rasulullah :
 Maksudnya :
   Aku diutus hanyalah semata-mata untuk menyempurnakan akhlak-akhlak yang mulia.
2. Islam  menganggap orang yang paling tinggi darjat keimanan ialah mereka yang paling mulia akhlaknya.  Dalam hadis telah dinyatakan :
 
 Maksudnya :
   Telah dikatakan Ya Rasulullah, mukmin yang manakah paling afdhal imannya, Rasulullah s.a.w. bersabda orang yang paling baik akhlaknya antara  mereka.
3. Islam telah mentakrifkan “Addin” dengan akhlak yang baik.  Dalam hadis telah dinyatakan bahawa  telah bertanya kepada Rasulullah s.a.w.
 
 Maksudnya :
   Apakah Addin itu ?  Sabda Rasulullah, akhlak yang baik
 Ini bererti bahawa akhlak itu dianggap sebagai rukun Islam samalah keadaannya           dengan wukuf  di pandang  Arafah dalam bulan Haji berdasarkan kepada sabda             Rasulullah:
 “Haji itu (amal haji) ialah wukuf di Padang Arafah, Wukuf di padang Arafah adalah dianggap sebagai salah satu rukun amal haji, demikian juga keadaannya pada   akhlak.
 
4. Islam menganggap bahawa akhlak yang baik adalah merupakan amalan yang utama dapat memberatkan  neraca amal  baik di akhirat kelak.  Hal ini telah  dinyatakan dengan jelasnya dalam hadis Rasulullah :
 “Perkara yang lebih berat diletakkan dalam neraca hari akhirat ialah takwa kepada Allah dan akhlak yang baik”
 Dari hadis ini jelas kepada kita bahawa timbangan amal baik kita di akhirat dapat ditambah beratnya dengan  akhlak yang baik.  Di samping itu kita ketahui juga bahawa akhlak dan takwa sama statusnya dari sudut ini, yang mana kedua-duanya merupakan perkara paling berat yang diletakkan dalam neraca akhirat.
5. Dalam ajaran Islam dinyatakan bahawa mereka yang berjaya memenangi kasih sayang Rasulullah dan mendapat sesuatu kedudukan yang hampir dengan Rasulullah pada hari akhirat ialah orang yang lebih baik akhlaknya.  Dalam hadis Rasulullah s.a.w. telah bersabda :
 Maksudnya :
   Yang paling aku kasihi di antara kamu dan yang paling dekat                    kedudukannya padaku di hari akhirat orang yang paling baik akhlaknya di antara kamu”.
6. Dalam ajaran Islam juga dinyatakan bahawa akhlak adalah merupakan syarat untuk membebaskan diri dari azab nereka dan memenangi  syurga.  Dalam hadis Rasulullah s.a.w. telah dinyatakan bahawa telah berkata kepada Rasulullah : 
 Maksudnya :
   Engkau sipulanah sentiasa berpuasa di siang hari dan bangun malam         untuk sembahyang sunat tetapi beliau jahat akhlaknya, beliau sentiasa menyakiti jirannya.  Rasulullah bersabda “Tiada kebaikan padanya, dia tergolong dalam   golongan ahli neraka.
 Jelas sekali dalam hadis ini bahawa ibadah puasa  sunat dan sembahyang sunat di malam hari tidak dapat menebus dan menutup akhlak  yang jahat, seperti yang berlaku kepada perempuan yang diceritakan dalam hadis di atas.
7. Rasulullah sentiasa berdoa kepada Allah supaya memperbaiki akhlaknya, sedangkan beliau tergolong dalam golongan mereka yang baik akhlaknya.  Sebagaimana yang terdapat dalam firman Allah dalam Surah Al-Qalam ayat 4 :
 Maksudnya : 
   Sesungguhnya engkau berbudi perkerti agong.  
 
 Beliau sering berdoa :
 Maksudnya :
   Tuhanku, tunjukilah aku akhlak yang paling baik.
8. Allah telah memuji Rasulnya Muhammad S.A.W. kerana akhlaknya yang mulia, Firman Allah dalam surah Al-Qalam ayat 4 :
 Maksudnya :
   Sesungguhnya engkau berbudi pekerti agong.
 Pujian yang berdasarkan kepada akhlak yan agong ini menunjukkan betapa tingginya kedudukan akhlak pada pandangan Allah.
9. Banyak terdapat ayat-ayat Al-Quran yang menyentuh persoalan akhlak, baik dengan cara memerintah supaya berakhlak mulia atau menegah dari akhlak yang rendah dan keji sebagai contoh :
 a. Berbudi baik kepada ibu bapa – Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 83
  Maksudnya :
   Dan berbuat  baik kepada  kedua ibu bapa
 b. Menunaikan janji – firman Allah dalam Surah Al-Israk ayat 34 :
  Maksudnya :
   Tunaikanlah janji sesungguhnya janji  itu satu tanggungjawab.
 c. Tegahan dari bersifat bakhil :
  Maksudnya :
   Dan jangan biarkan bangsa kamu berpunca dilengkok kamu  dan banyak lagi  contoh-contoh yang lain.
 
JALAN PEMBENTUKAN AKHLAK
 Di sana banyak terdapat jalan-jalan yang dapat digunakan dalam usaha-usaha  membentuk  akhlak.  Antaranya :
1. Ilmu, yakni mengetahui jenis-jenis akhlak yang mulia dan keji.  Tanpa ilmu Muslim tidak akan dapat membezakan antara akhlak yang baik dan buruk.    Islam telah menjelaskan akhlak yang baik dan yang buruk.   Kewajipan seseorang muslim hanyalah untuk mempelajari dan mengoreksi dirinya, melihat di mana kedudukannya berbanding dengan akhlak-akhlak tersebut, dan seterusnya bertindak melakukan perlaksanaannya.
2. Mengetahui betapa pentingnya akhlak-akhlak tersebut pada dirinya, kerana permasalahan akhlak berhubung terus dengan masalah iman dan takwa.  Di samping itu beliau  haruslah mengetahui apakah keburukan yang akan diterimanya akibat dari akhlak yang buruk dan keji.
3. Menyemadikan nilai-nilai akhlak yang mulia dalam ingatan, sehingga beliau sentiasa waspada dan hati-hati dalam tindakannya.  Melupai nilai-nilai akhlak yang mulia ini boleh membuat seseorang itu melakukan akhlak yang keji, kerana lupa  adalah penyakit ilmu. “Penyakit ilmu ialah lupa”.  Inilah yang  telah berlaku kepada Adam Alaihissalam sebagaimana yang terdapat dalam Firman Allah :
 “Sesungguhnya sebelum ini kami menjanjikan kepada Adam  (tetapi) beliau lupa”.
4. Bersungguh-sungguh memperkuatkan pengertian akidah islamiah dalam jiwa, terutama pengertian-pengertian  yang bersangkut dengan hari kiamat, dan akan menemui mati lambat laun.
  Dengan memperkuat dan memperdalamkan pengertian akidah islamiah, akhlak seseorang itu akan kokoh, kerana soal akhlak berhubung dengan masalah iman dan takwa.
  Seseorang yang benar-benar kuat pegangan akidahnya tidak  akan merasa hina, kerana beliau  sedar bahawa beliau berhubung terus dengan sesuatu kekuatan yang benar-benar agong, iaitu kekuatan Allah.
  Seseorang yang benar-benar mukmin tidak akan takut kepada sesama makhluk kerana beliau sedar bahawa segala sesuatu itu daripada Allah belaka, rezeki, celaka, manafaat dan nikmat malah hidup dan mati adalah di tangan Allah.  Dengan itu beliau tidak akan bersikap mengampu, rasa hina diri dan hidup berpura-pura.
  Seseorang yang benar-benar mukmin tidak akan keluk kesah, kerana beliau sering mengingati Allah.  Firman Allah dalam surah Ar-Read ayat 30; 
  “Ingatlah …………. dengan mengingati Allah hati akan tenang”
5. Melakukan amal-amal yang dapat mendorong kepada akhlak  yang  baik di samping dapat memudahkan jiwa menerima akhlak yang mulia.  Firman Allah dalam surah Asy-Syamsi ayat 9:
 “Telah berjaya  orang yang telah membersihkannya (jiwa) dan telah rugilah orang yang mencemarkannya”.
6. Menunaikan ibadah yang fardhu dan sunat, kerana  ibadat-ibadat ini dapat mentazkiahkan diri.  Firman Allah dalam surah Al-Ankabut ayat 45 :
 “Sesungguhnya sembahyang itu dapat mencegah dari kejahatan dan kemungkaran”
 Firman Allah lagi dalam surah At-Taubah ayat 104 :
 “Ambillah dari harta mereka itu sedekah yang dapat membersih dosa mendahkiahkan mereka”.  Ibadat-ibadat ini amat besar pengarahnya pada jiwa manusia.  Ibadat puasa misalnya ; dapat membentuk sifat-sifat sabar dan membina  kekuatan iradah (kemahuan), begitu  juga ibadah haji adalah merupakan tarbiah amaliah (latihan amali) kepada jiwa dan roh – demikianlah seterusnya ibadat-ibadat lain.
7. Melakukan perbuatan yang bertentangan dengan tuntutan sifat-sifat keji.  Misalnya, untuk mengubati sifat hasad dengki boleh dilakukan dengan mengucapkan istigfar dan mendoakan kebajikan  kepada orang yang didengki.  Sifat takbur umpamanya dapat diubati  dengan bercampurgaul dengan golongan miskin dan muhrim, duduk di barisan belakang dalam  majlis.
8. Memaksa diri melakukan sesuatu sifat yang dikehendaki, hinggalah sifat tersebut menjadi sebati dengan dirinya.
9. Bergaul dengan orang-orang mukmin yang berakhlak mulia, pergaulan ini akan dapat menularkan sifat-sifat mereka yang mulia itu sedikit demi sedikit.  Rasulullah telah bersabda :
 “Janganlah kamu bersahabat kecuali dengan orang yang  beriman dan makanan kamu janganlah di makan kecuali oleh orang yang bertakwa”
10. Berusaha sedapat daya menuruti pimpinan yang baik.  Pimpinan yang baik secara mutlak ialah Rasulullah s.a.w. Firman Allah dalam surah Ai-Ahzab ayat 21 : 
 “Sesungguhnya  pada Rasulullah itu ikutan yang baik bagi kamu”
 Selain dari Rasulullah s.a.w. ialah para sahabat, terutama para  khulafa-ur-rashidin.  Rasulullah s.a.w.  telah bersabda :
 “Para sahabatku seperti bintang, yang mana satu antara mereka kamu ikut, kamu akan dapat petunjuk”.
11. Meninggalkan suasana yang telah rosak akhlaknya dan mencampuri suasana atau jamaah yang  saleh.
 Meninggalkan suasana yang rosak akhlak di sini bukanlah bererti meninggalkan masyarakat, yang dimaksudkan ialah menghijrahkan perasaan kita dari masyarakat yang telah  rosak itu di samping berusaha mendampingi jamaah-jamaah yang baik akhlaknya.
12. Mengambil berat tentang akhlak yang mulia dan menganggapnya sebagai mutiara mahal yang harus dimiliki.
13. Melatih diri menerima nasihat orang.  Pada hakikatnya orang yang memberi nasihat berhak menerima terima kasih kita, kerana  kita selalunya berterima kasih  kepada orang yang menyelamatkan kita dari bahaya.  Demikianlah juga orang yang memberi nasihat  telah cuba menyelamatkan kita dari bahaya keburukan akhlak yang kita lakukan.
KESIMPULAN
 
Dari   penjelasan ini kita dapat membuat beberapa kesimpulan :-
1. Akhlak amat penting dalam penghidupan manusia memandangkan besarnya pengaruh akhlak kepada tindak tanduk manusia, sehingga pada ketika-ketikanya nilai-nilai akhlak yang terdapat pada diri seseorang itu bertindak menjadi neraca penilai kepada sesuatu perbuatan.
2. Akhlak mendapat kedudukan yang tinggi pada pandangan Islam.
3. Sistem akhlak dalam Islam dapat membezakan dirinya dengan  sistem akhlak yang lain melalui ciri-cirinya yang khusus.
4. Akhlak dapat dicapai dan dibentuk  melalui daya usaha manusia sendiri melalui cara dan wasilah mencapai dan membentuk akhlak  dalam diri.
PENUTUP
 Dengan penjelasan ini juga kita telah mengetahui serba sedikit tentang  sistem akhlak dalam Islam.  Pengetahuan kita yang serba sedikit ini menuntut kita  bertindak melakukan perlaksanaannya  dalam kehidupan  kita, kerana dengan mengetahui sahaja tanpa dituruti dengan tindakan perlaksanaan  ianya tidak akan mendatangkan faedah yang  diharapkan.
 Oleh yang demikian kita  berkewajipan bertindak melaksanakan tuntutan pengetahuan kita, kita mulakan dari diri kita, keluarga kita, masyarakat kita seterusnya negara kita.  Andainya kita sungguh-sungguh dalam mengusahakan perlaksanaan ini Allah akan menolong kita.  Firman Allah dalam surah Al-Ankabut ayat 69 :
“Dan mereka yang berjihad pada (jalan) kami,  kamu akan tunjukkan kepada  mereka jalan-jalan kami”   Itulah janji Allah, dan Allah tidak akan mungkin janji.
 Dalam kita bertindak untuk melaksanakan tuntutan ini kita akan menghadapi  tentangan dari masyarakat jahiliah yang berada disekeliling kita.  Tentangan ini adalah menjadi sunnah Allah kepada hambanya, sebab itu Allah berfirman dalam surah Al-Ankabut ayat 2 :
“Apakah manusia menyangka bahawa mereka dibiarkan  menyatakan “kami telah beriman” sedang mereka tidak akan diuji lagi”.
 Ujian-ujian yang berupa tentangan ini harus kita hadapi demi membuktikan keimanan kita yang kuat kepada Allah.  Moga-moga kita tergolong  dalam golongan orang-orang  yang baik dan mulia.

 

 

Laman web @ bahan ttg  Tazkiyyah al-Nafs

http://www.scribd.com/doc/2939618/Mensucikan-Jiwa-Tazkiyatun-Nafs-Said-Hawwa

52 Comments on SISTEM AKHLAK DALAM ISLAM

  1. ANDY says:

    folic@acid.hpv" rel="nofollow">..

    Buyno prescription…

  2. SCOTT says:

    oral@gentamicin.supllements.and.horses" rel="nofollow">…

    Buygeneric drugs…

Leave a Reply

*