Secebis Kisah Pahit Getir Mempertahankan Akidah Islam
Posted By Dr Nizam on September 1, 2009
Tunas Keikhlasan Akidah Islamku
“Bismillahirrahmanirrahim…” Lafaz puji-pujian ku ucapkan pada yang Maha Esa sebelum aku dan isteri memulakan perjalanan pagi itu.
Moga dengan itu hari-hari kami terus diberkati Allah S.W.T dan menjadikan aku seorang yang tidak lupa akan pencipta alam ini yang maha kuasa atas tiap-tiap kejadian. Perjalananku bersama isteri tersayang ke tempat kerja tidak seperti biasa seperti hari-hari yang lain. Hari ini, tanggal 26 Ramadhan 1429 Hijrah bersamaan 26 September 2008 kami bercadang untuk singgah di Rumah Transit Darul Hidayah, Permatang Tok Gelam untuk membuat sedikit penyelidikan.
“Abang jadi ke nak pi Rumah Transit Darul Hidayah tu? Soal isteriku.
“InsyaAllah jadi. Sebelum pi kerja, kita singgah sana dulu, k?
“Ok..”
Perjalanan ke sana mengambil masa lebih kurang 40 minit. Alhamdulillah, ketibaan kami disambut mesra oleh kakitangan di sana khususnya Puan Aishah Lee (bukan nama sebenar) yang sudi untuk ditemubual. Wajahnya yang berseri-seri dan bersih mengambarkan ketenangan hatinya ditambah pula senyuman manis yang tidak pernah lekang di bibirnya.
Perbualan awal dengan beliau lebih tertumpu kepada perjalanan dan aktiviti saudara baru di sana dan rutin beliau sebagai pegawai mubaligh.
Di pertengahan perbualan, beliau mula menceritakan perihal pengalaman beliau memeluk Islam. Beliau memeluk Islam ketika berumur 19 tahun. Namun demikian, peristiwa yang membuatkan beliau terpanggil untuk mengenali Islam dengan lebih dekat ialah peristiwa-peristiwa mimpi yang dialaminya semenjak tingkatan satu lagi. Beliau menceritakan bahawa beliau bermimpi berkali-kali mendengar kalimah syahadah pada usia 13 tahun itu.
Mimpi pertama menurut beliau ialah mengenai suasana di mana beliau dikejar oleh sekumpulan orang jahat. Beliau berlari ke satu arah dan di penghujungnya adalah jalan mati dan di bawahnya adalah satu jurang yang dalam. Beliau tidak dapat menyelamatkan diri lagi, namun secara tiba-tiba beliau ternampak sekumpulan manusia yang sedang beribadah (bersolat) dan pada masa yang sama beliau mendengar satu suara yang cukup jelas memintanya mengucap kalimah Syahadah. Suara itu menyatakan bahawa beliau akan selamat sekiranya mengucap Kalimah Syahadah dan turut bersama kumpulan ahli ibadah itu. Kalimah Syahadah itu cukup jelas baginya, sehingga beliau mampu mengingati dan mengungkapnya walaupun selepas terjaga dari mimpi.
Mimpi kedua beliau pula ialah beliau pernah berada dalam satu suasana yang cukup menakutkan. Kelihatan di sisi kanan dan kiri beliau segolongan manusia. Di sebelah kanan beliau ialah kumpulan yang beroleh nikmat dan ketenangan, manakala di sebelah kirinya ialah golongan yang terseksa. Kumpulan di kiri beliau meraung-raung meminta pertolongan akibat terseksa. Dalam masa yang sama beliau mendengar ajakan supaya beliau mengucapkan kalimah Syahadah supaya beroleh tempat bersama-sama golongan di kanan beliau. Ajakan untuk mengungkap kalimah Syahadah cukup jelas sehingga beliau mampu menuturkannya setelah terjaga dari mimpi.
Kisah-kisah mimpi beliau ini dipendam dalam hati pada mula-mulanya. Namun gejolak perasaan ingin tahu berkenaan kalimah Syahadah itu semakin hari semakin kuat, lalu beliau membuat keputusan untuk bertanya rakannya. Beliau meminta rakan Muslim beliau untuk mengungkapkan kalimah Syahadah.
“Aku pernah dengar ungkapan ini berkali-kali dalam mimpi aku.” Kata beliau setelah mendengar rakannya mengungkapkan kalimah Syahadah.
Bermula di sini, pencarian beliau kepada sebuah kebenaran bermula. Tatkala rakan Tionghuanya menghabiskan masa bermain, beliau pergi ke kelas agama Islam untuk mendengar. Beliau bertanya pandangan rakannya, boleh atau tidak sekiranya beliau ingin mengikuti kelas agama.
“Mana boleh, hang amoi, pakai skirt lagi, tak boleh.., tak boleh.” Kata rakannya itu.
Pada awalnya, beliau gagal mendapat keizinan dari guru agama tersebut walaupun telah meminta izin sebanyak tujuh kali.
” Mungkin cikgu itu takutkan Guru Besar, kerana guru besar sekolah itu beragama Kristian.” Katanya membuat andaian apakah sebabnya guru agama trsebut tidak membenarkannya mengikuti kelas agama.
Akhirnya setelah bersungguh-bersungguh meminta izin mahu mendengar kelas agama itu walaupun terpaksa menyorok di belakang pintu kelas, akhirnya Cikgu agama tersebut akur dengan permintaannya.
“Tak mengapalah cikgu, saya duduk curi-curi dengar tepi pintu, tepi tong sampah di belakang pun saya sanggup.” ujarnya.
* * *
Pernah satu ketika, sewaktu rakan-rakan Muslim yang lain menunaikan solat di surau sekolah, beliau tertanya-tanya. Apakah yang dilakukan oleh rakan-rakannya itu. Perasaan ingin tahunya semakin memuncak ketika itu, namun surau itu menjadi tempat larangan bagi pelajar bukan Islam sepertinya. Akhirnya, pada suatu hari beliau curi-curi masuk ke dalam surau. Tengok ke kanan, tengok ke kiri tak dak apa-apa pun. Tapi yang pasti beliau tahu rakan-rakannya solat hanya menghadap satu arah.
“Hmm… kenapa ya? ”, tertanam persoalan itu di mindanya.
Pada satu kesempatan, beliau bertanyakan guru agama sekolahnya mengenai hal ini.
“Kenapa orang Islam hanya menghadap satu arah apabila solat?” Soalnya.
“Orang Islam sembahyang menghadap matahari terbenam.” Ringkas jawapan guru agama itu.
“Orang Cina pula sembahyang ketika matahari terbit, macam sama saja.”
“Bukan begitu, orang Islam sembahyang mengadap kiblat.”
“Apa tu kiblat?” celahnya.
“Kamu mana tahu, kamu bukan orang Islam.” ujar gurunya.
* * *
Menjangkau jauh ke depan, cabaran dan rintangan sebenar menjelma ketika mana beliau secara rasmi menganut agama Islam iaitu pada usia 19 tahun. Cabaran tersebut berupa tentangan hebat dari bapanya yang beragama Buddha. Semasa beliau menganut Islam secara rasmi beliau ingin merahsiakannya daripada pengetahuan keluarga. Namun demikian, hasratnya itu tidak kesampaian. Pagi harinya beliau memeluk Islam, dan ketika pulang dari kerja pada waktu petang, bapanya telah mengetahui tentang perkara tersebut. Bapanya naik berang dan melemparkan baju-bajunya dari tingkat 4 penginapannya tanpa segan silu lagi dengan jiran sekeliling. Beliau dijerit-jerit sebagai anak yang tak kenang budi, nak masuk Melayu dan nak tinggalkan ibu bapa dan sebagainya. Beliau tertanya-tanya mengapa ayahnya jadi begitu. Dengan perasaan tertanya-tanya itu, beliau melangkah kaki naik ke atas lantas bertanyakan bapanya.
“Apa masalahnya pa..”
“Apa masalahnya? Dah masuk Melayu lagi mau tanya apa masalah!” Marah bapanya. Setelah bapa beliau berleter dan memarahinya, beliau hanya diberi dua pilihan. Pertama, untuk tinggalkan agama Islam dan kedua, keluar dari rumah dan bapanya tidak lagi mengakuinya sebagai anak. Tersentak dan terkejut beliau mendengar kata dua dari ayahnya. Barulah beliau tahu hal yang sebenar kenapa ayahnya marah-marah. Rupa-rupanya berita beliau memeluk Islam telah sampai ke pengetahuan ayahnya.
Tatkala berhadapan dengan pilihan yang diberikan kepadanya, beliau berada dalam dilema untuk membuat keputusan. Beliau tidak tahu ke mana hendak pergi dan lagipun waktu pada katika itu semakin menghampiri malam. Beliau juga tidak sanggup murtad setelah memeluk Islam pada pagi hari yang sama. Akhirnya, beliau nekad untuk keluar rumah. Beliau tidak tahu dari mana datangnya kekuatan untuk membuat keputusan berani itu malah turut mengungkapkan kata-kata kepada bapanya bahawa beliau bukan masuk Melayu, bahkan dirinya tetap bangsa Cina, anak papa. Hanya yang bertukar ialah agamanya dari Buddha ke Islam. Beliau dari dulu tidak minat dengan agama Buddha.
* * *
Masih sgar di ingatannya pada suatu ketika dulu semasa beliau di Tingkatan Satu iaitu sewaktu beliau dibawa oleh bapanya ke kuil besar di Pulau Pinang dan beliau disuruh meletakkan colok kepada beratus-beratus berhala yang ada, beliau pernah bertanya bapanya.
“Papa…berhala mana yang paling kuat, gagah dan ‘best’?.”
“Best yang macam mana?
“Tokong yang kalau saya cakap dia dengar, kalau saya minta dia akan bagi…
“Bodoh kau, tokong nie mana dia dengar… Sudah-sudah, pergi letakkan colok tuu…” Arah bapanya.
Akhirnya beliau buat keputusan untuk tidak membuat apa yang diminta oleh bapanya dan menyorokkan colok di tandas kuil tersebut. Beliau tidak minat untuk melakukan kerja yang sia-sia itu.
* * *
Setelah membuat keputusan nekad untuk memilih keluar dari rumah, beliau mengutip pakaian yang dibuang bapanya dan dimasukkan ke dalam beg. Pada masa yang sama, beliau terus dihamburkan dengan pelbagai celaan oleh bapanya sendiri. Beliau dikatakan sebagai anak tak mengenang budi, masuk Melayu, nak buang keluarga dan sebagainya. Malah jiran-jiran sekeliling juga turut memihak kepada bapanya termasuklah jiran-jiran bangsa Melayu. Barang kali mereka tidak tahu dan tidak usul periksa pokok pangkal masalah yang dihadapinya.
Di fikiran beliau tidak tahu ke mana arah hendak dituju. Beliau terus ke stesyen bas di Butterworth dengan hanya membawa beg pakaian. Beliau masih buntu dan terkejut dengan perkara yang menimpanya hasil keputusan beliau memeluk Islam itu. Beliau telah nekad untuk mempertahankan akidahnya walau pun beliau tahu beliau boleh berpura-pura untuk murtad supaya boleh kekal dan terus tinggal di rumah bapanya. Namun beliau tidak mahu dan tidak sampai hati meninggalkan agama anutan barunya. Agama yang beliau yakin benar, dan Allah yang Esa sebagai Tuhan yang Maha kuasa. Beliau bertawakal sepenuhnya kepada Allah untuk apa yang akan terjadi seterusnya.
Malam semakin pekat dan orang yang tadi kian ramai semakin kurang dan balik satu persatu ke rumah masing-masing. Namun beliau tidak tahu ke mana destinasi yang ingin di tuju, malah beliau langsung tidak mempunyai wang untuk menaiki bas apatah lagi teksi. Perasaan takut dan bimbang menguasai diri. Apatah lagi pada era tersebut jarang anak dara berada di luar lewat-lewat malam begitu. Beliau hanya bergantung harap dan berdoa kepada Allah moga-moga Allah menemukan beliau dengan seseorang yang mahu meleraikan kekusutan masalah yang sedang dihadapinya.
Selepas menanti, menunggu dan duduk memikirkan kesudahan apa yang dialami, akhirnya beliau didatangi dan dihampiri seorang lelaki tua (mamu). Dari kejauhan beliau melihat mamu itu menghampirinya. Perasaan takut menyelinap masuk. Bila dekat sahaja kelibat itu, beliau terus disergah.
“…Ni apa lewat-lewat malam anak dara masih di sini. Ni tak lain mesti lari dari rumah dan dok tunggu jantan ambik hang. Mai sini aku hantaq hang balik.” Kata mamu itu dengan nada marah.
Belum sempat beliau menjelaskan hal sebenar, beliau terus dimarah-marah. Lelaki tersebut terus berleter dan bersangka buruk dengan beliau.
“Pak cik biar saya cakap sebentar. Sebenarnya saya baru awal pagi tadi memeluk Islam dan petangnya dihalau oleh bapa saya keluar dari rumah.”
“…Ooooo begitu, maafkan pak cik, pak cik bersangka buruk dengan anak. Tak pa…, tak pa… mai ikut pak cik.” Pelawa mamu tersebut.
Disebabkan malam semakin gelap gelita dan tiada arah, beliau menerima pelawaan itu. Walaupun begitu, beliau masih berasa takut dan bimbang dengan keselamatannya. Beliau memandang mamu itu dari hujung kaki sampai ke atas. Beliau hanya percaya kepada kopiah yang dipakainya.
Dalam perjalanan, mamu bertanya lanjut kepada beliau mengenai peristiwa yang baru dilaluinya. Akhirnya mereka sampai ke rumah mamu tersebut dan rupa-rupanya mamu adalah imam bagi kampung itu dan isterinya pula guru al-Qur’an. Terdetik di hatinya bahawa doa beliau dimakbulkan Allah kerana Allah mengirimkan seseorang untuk menyelamatkan beliau buat sementera di awal usia anutan agama barunya, Islam. Beliau juga rasa lega, kerana dua anak kepada mamu itu juga adalah perempuan dan tiada anak lelaki.
Tinggallah beliau beberapa ketika di rumah mamu tersebut dan dalam masa yang sama beliau belajar sedikit sebanyak al-Qur’an dari isteri mamu itu. Dalam masa yang sama beliau mencari pekerjaan untuk menyara diri. Namun bagaikan disangka panas hingga ke petang, namun hujan turun juga pada tengahari. Tidak sampai dua bulan beliau bertumpang teduh di rumah pasangan suami isteri dan keluarga muslim yang prihatin, timbul pula suara-suara sumbang dari segelintir masyarakat kampung yang majoritinya orang Melayu dengan kata-kata yang menghiris hati. Tuduhan bahawa mamu bawa balik anak Cina dan sebagainya membuatkan beliau mengambil keputusan untuk tidak terus menyusahkan keluarga itu.
Namun dalam tempoh dua bulan awal pemelukan Islamnya, bapanya tidak berdiam diri malah berusaha untuk memurtadkan anaknya. Persepsi bapanya terhadapnya selain masuk Melayu, beliau juga dianggap ‘kena bomoh’ dengan orang Melayu. Oleh sebab itu, beliau berusaha untuk kononnya memulihkan anaknya dari buatan orang sehinggakan anaknya sanggup masuk Melayu dan meninggalkan keluarga. Pada satu hari, tatkala beliau sedang menunggu bas bersama rakan-rakan yang lain untuk pergi bekerja, beliau ternampak kereta bapanya berserta kelibat tiga orang lelaki lalu di hadapan perhentian bas.
“Apalah yang ingin dilakukan oleh papa dan lelaki-lelaki tersebut.” Detik hatinya.
Tatkala tiga orang lelaki itu datang menghampirinya, beliau hanya bertawakal agar dilindungi Allah. Beliau membaca syahadah, al-Fatihah dan selawat memohon perlindungan Allah. Pada masa yang sama, rakan-rakannya telah melarikan diri kerana bimbangkan keselamatan mereka. Maka tinggallah beliau seorang diri menghadapi suasana getir untuk ditangkap. Namun demikian, kuasa Allah mengatasi segala-galanya. Tiga orang lelaki tersebut yang merupakan bomoh Siam, upahan ayahnya itu dengan mantera yang dibaca mereka tidak mampu memegang dan menangkapnya. Ketiga-ketiganya hanya sekadar berlegar berpusing-pusing di hadapannya. Dari jauh, ayahnya menjerit,
“Cepatlah tangkap dia, bawa masuk dalam kereta.” Jerit bapanya dari jauh.
“Mana dia, tak nampak pun.” Kata lelaki-lelaki tersebut.
Waktu itu barulah beliau menyedari bahawa lelaki-lelaki tersebut tidak dapat melihatnya. Terungkap syukur dalam hatinya dengan kuasa dan perlindungan yang Allah berikan kepadanya. Selang tidak berapa lama, ayahnya pula datang untuk menangkapnya, namun tidak juga berjaya. Ayahnya memberi amaran bahawa dia akan datang kembali.
* * *
Pada suatu hari, bapa dan ibu tirinya sekali lagi cuba untuk memurtadkan beliau. Kali ini bapanya mempunyai perancangan yang lebih teliti. Beliau berjaya ditangkap dan dibawa ke sempadan Siam berjumpa bomoh Siam untuk diubati.
“Barangkali hatiku lalai masa ditangkap”, ujarnya.
Perjalanan ke sana mengambil masa yang lama, akhirnya sampailah beliau ke sana dan di bawa ke sebuah rumah usang yang tidak berpenghuni. Beliau telah ditinggalkan sendirian dengan bomoh tersebut. Bomoh siam tersebut telah memulakan upacara perbomohannya dengan tujuan untuk beliau meninggalkan agama Islam. Bomoh tersebut mengertaknya:
“Hang tak takut mati kah? Hang tak takut jadi gilakah? Aku dah buat ramai orang mati dan ramai yang jadi gila.” Gertak bomoh tersebut.
“Aku tidak takut, aku hanya takutkan Allah jika aku meninggalkan agama yang baru aku anuti ini.”
Maka bomoh Siam tersebut mengambil tengkorak dan diguling-guling serta dicucuk-cucuk dengan jarum. Akibatnya, badan beliau terasa sakit-sakit bagaikan dicucuk dan terasa bahang kepanasan. Beliau tidak mampu melawannya dan hanya bertawakal kepada Allah dan terus membaca Syahadah, al-Fatihah dan Selawat dan dengan pengharapan supaya Allah meneguhkan keimanannya. Akhirnya, bantuan dan pertolongan Allah sampai jua kepada hambaNya yang ikhlas. Terdengar dentuman bunyi guruh yang kuat di atas bumbung dengan percikan air masuk melalui tingkap memusnahkan alat-alatan bomoh tersebut. Terkejut bomoh Siam itu.
“Hang hantaq sapa mai?”
“Dengan sapa hang belajaq?” Tanyanya dengan nada marah.
“Allah” Jawab beliau ringkas.
Kemudiannya, bomoh tersebut turun ke bawah mengambil air acaq (air busuk dan hitam dari longkang) dan menjampi air tersebut dan meminta beliau meminumnya. Beliau melihat air itu dari sudut pandangannya begitu jernih bagaikan air masak, lalu beliau meminumnya. Selepas meminumnya hilang segala sakit-sakit yang mencucuk badannya dan hilang segala kepanasan yang dialaminya akibat perbuatan bomoh tersebut. Rupa-rupanya air itu Allah jadikan penawar kepadanya. Lantas beliau bingkas bangun dan menampar bomoh tersebut. Terpelanting dan terkejut bomoh tersebut.
“ Dari mana hang belajaq ini, sampai aku tak boleh kalahkan hang?” Soal bomoh itu sekali lagi. Dalam masa yang sama bapanya masuk ke dalam rumah untuk mengetahui apa yang berlaku.
“Apa yang hang dah buat kat anak aku.” Tanya bapa beliau.
“Bawa balik anak hang, bawa dia keluar dari kampung ni…Aku tak nak lihat muka dia lagi.”
Begitulah kisah bagaimana keimanan dan keikhlasan kepada Allah mampu memperoleh kasih dan lindungannya dari segala mara bahaya. Benarlah ungkapan ayat Surah al-Baqarah, ayat 257 : “Allah Pelindung orang-orang yang beriman, Dia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kekafiran) kepada cahaya (iman), Dan orang-orang kafir, pelindung-pelindungnya ilah syaitan, yang mengeluarkan mereka daripada cahaya kepada kegelapan (kekafiran). Mereka itu adalah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya.” Benar juga firman Allah dalam surah…..“Sesungguhnya Allah berkuasa ke atas segala sesuatu.”
-TAMAT Bahagian SATU-
©Hak Cipta Terpelihara, Dr Mohd Nizam Sahad, 8 Oktober 2008
salam..tak sabar nak baca Bahagian yg seterusnya..
sebuah cerita yg mnginsafkan…. mbuatkan kita dapat merasai betapa hebat dan besarnya kuasa Allah S.W.T….