Oleh: Siti Hajar binti Haris

Pelajar Minor Pengajian Islam, USM

I

slam adalah ajaran fitrah yang mana Nabi Muhammad s.a.w. diutus untuk menjelaskan ajaran kebenaran-Nya dan memperlihatkan tuntutan-Nya, serta mengembalikan manusia kepada jalan yang lurus setelah manusia dikuasai oleh pujuk rayu syaitan. Fitrah bermaksud naluri asal manusia yang diciptakan Allah yang bersih dari semua bentuk pencemaran. Dalam erti kata lain, Islam agama yang bersifat semula jadi yang mana ia meliputi keinginan dan keperluan hbidup manusia.

Islam merupakan agama yang selari dengan fitrah kejadian manusia. Islam melalui ajarannya yang lengkap bukan mahu melahirkan manusia yang hanya beribadat khusus sepanjang masa sehingga lupa untuk berbakti dalam hari dunianya. Islam telah menggariskan ajaran yang sempurna dalam memastikan umat manusia tidak terpesong ke jalan kesesatan yang cuba diheret oleh hawa nafsu dan syaitan. Setiap pekerjaan walaupun pada zahirnya untuk kehidupan dunia, tetapi ia turut dicatatkan pahalanya sebagai satu ibadat jika selari dengan kehendak agama begitulah sebaliknya, jika suatu ibadat walaupun pada zahirnya sebagai bekalan akhirat, tetapi akan menjadi sia-sia jika dilumuri dengan niat yang tidak ikhlas dan hanya mahu mencari habuan dunia semata-mata. Islam juga bukan datang dengan paksaan, sebaliknya ia meresap ke jiwa manusia dengan kerelaan hati sendiri setelah hati begitu tertarik dengan keindahannya.Islam agama fitrah. Sesiapa yang menolak Islam bererti dia menolak fitrahnya sendiri. Apabila seseorang itu menolak fitrahnya sendiri, dengan sendirinya dia mengundang kecelakaan kepada dirinya atau dengan kata lain dia telah menanam sesuatu yang tidak baik kepada dirinya.

Agama Islam bersesuaian dengan fitrah dan akal manusia. Segala hukum yang diturunkan oleh Allah s.w.t tidak bertentangan dengan akal sihat manusia. Bahkan, jika akal tersebut betul-betul digunakan, ia akan menemukan keagungan dan keesaan Allah. Jika ada yang nampak bertentangan, ia adalah disebabkan oleh keterbatasan akal manusia yang tidak dapat memahami dan mentafsirkan apa yang dikehendaki dan dimaksudkan oleh Allah. Segala yang disyariatkan itu pada hakikatnya sesuai dan menepati fitrah manusia kerana hanya Allah yang mengetahui hakikat dan kejadian manusia. Berkat Islam sebagai agama fitrah, semua akidah dan ibadat yang diajarkannya masuk akal, jelas dan tidak ada kesulitan untuk memahaminya. Ia berbeza dengan ideologi ciptaan manusia yang datang melalui akal fikiran yang tidak mampu member kebahagiaan dan jalan penyelesaian kepada kehidupan manusia secara sempurna. 

Islam tidak memikulkan sesuatu kewajipan ke atas bahu seseorang kecuali menurut kemampuan masing-masing.  Hal ini telah ditegaskan oleh Allah s.w.t dalam Al-Quran iaitu Surah Al-Baqarah ayat 286 yang bermaksud:

 “Allah tidak membebankan seseorang melainkan sekadar kemampuannya.”

Oleh sebab itulah, maka dalam peraturan pelaksanaan kewajipan-kewajipan ibadat solat, solat itu wajib dikerjakan dalam keadaan berdiri tegak. Tetapi sekiranya tidak mampu kerana sakit dan sebagainya, bolehlah dikerjakan dalam keadaan duduk atau keadaan berbaring, gerakan anggota atau isyarat mata. Sekiranya tidak mampu juga, maka dengan hati dan ingatan. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

“Kerjakanlah sesuatu amal menurut kemampuan kamu, jauhilah apa yang aku larang kepada kamu, dan apa-apa yang aku perintahkan hendaklah kamu kerjakan menurut kesanggupan kamu.”

Islam melarang sesuatu perbuatan atau tindakan yang merugikan diri sendiri dan orang lain. Hal ini bermaksud, tiada ajaran Islam yang mendatangkan keburukan kepada manusia. Firman Allah s.w.t. dalam Surah Al-Maidah ayat 6 yang bermaksud: 

“Allah tidak mengkehendaki untuk menjadikan ke atas kamu sebarang kesusahan.”

Sebagai contoh, kita dilarang menyakiti diri sendiri, membunuh diri, mencuri, menipu, bersubahat, fitnah-memfitnah atau menjatuhkan diri sendiri ke lembah kesengsaraan walaupun dengan sebab apa sekalipun. Allah juga telah berfirman dalam Surah Al-Baqarah ayat 195 yang bermaksud:

“Janganlah kamu menjerumuskan dirimu sendiri ke dalam jurang kebinasaan.”

Islam juga melarang sebarang paksaan apatah lagi menzalimi umat manusia dalam memeluk Islam tetapi memberi ruang kepada mereka untuk mengemukakann hujah sehingga mereka benar-benar faham tentang Islam yang memungkinkan mereka akhirnya memeluk Islam ataupun tetap dalam agama asal mereka tetapi dengan penuh kerelaan hati mereka tunduk kepada sistem Islam yang menjanjikan kesaksamaan dan keamanan.

Islam melarang umatnya menjauh dari pentas kehidupan manusia. Islam adalah satu-satunya agama di dunia yang memelihara fitrah penganutnya. Seseorang Muslim diperintahkan oleh Allah untuk selalu menjaga fitrah dirinya sebagai manusia. Ia harus terlibat dalam aktiviti-aktiviti sosial. Seseorang Muslim itu juga adalah pencipta sejarah dirinya. Kesinambungan hidup makhluk yang berspesies manusia adalah menjadi tanggungjawab seorang Muslim. Keberadaan spesies manusia di muka bumi harus berlangsung secara berterusan dan tidak boleh dimusnahkan. Oleh yang demikian, seseorang Muslim itu diwajibkan untuk nikah dan beranak-pinak. 

Selain itu, menurut Islam juga, setiap bahagian tubuh memiliki hak. Islam memerintahkan setiap bahagian tubuh manusia perlu dipenuhi keperluannya. Sebagai contoh, perut diberi makan dan minum. Nafsu syahwat dengan pelampiasannya. Mata dan badan dengan istirehat. Hal ini kerana, orang yang menghabiskan seluruh waktunya untuk solat dan berpuasa secara berterusan tanpa mempedulikan hak bahagian tubuh masing-masing adalah menjadi larangan dalam Islam. Islam tidak menafikan bahawa setiap Muslim adalah makhluk manusia yang tetap harus meneruskan kehidupan mereka sehingga ajal tiba.

Dalam Islam juga, makan dan minum menjadi kewajipan sebagai syarat keberlangsungan hidup seseorang. Islam melarang seseorang Muslim itu mengharamkan dirinya daripada makan dan minum dengan sengaja. Namun sebaliknya, Islam juga tidak mengizinkan seseorang Muslim berlebihan dalam hal-hal tersebut. Dalam konteks Islam, kesucian hidup adalah mereka yang selalu berbuat di tengah-tengah iaitu tidak berlebihan dan tidak menjauhi sama sekali. Islam hanya mewajibkan seseorang hamba untuk menahan diri pada waktu-waktu tertentu daripada nafsu makan, minum dan syahwat iaitu dengan berpuasa. Sebagai contoh, orang yang telah mencapai tahap kesucian hidup dalam Islam adalah Nabi Muhammad s.a.w. Baginda adalah seorang manusia dan dalam masa yang sama masih makan dan minum, tidur, menggauli isteri-isterinya dan memiliki anak.

Menjaga keperluan asas fitrah manusia iaitu dari segi agama, nyawa dan diri, akal, keturunan dan maruah serta harta. Untuk memelihara keperluan fitrah manusia kepada agama, Islam mengkehendaki manusia supaya beri’ktikad dengan akidah yang betul dan beramal dengan amalan yang disyariatkan. Allah telah berfirman dalam Surah Al-Nisa’ ayat 136 yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, berimanlah dengan Allah dan Rasul.”

Bagi memelihara supaya keperluan kepada agama ini tidak dimusnahkan, Islam mengenakan hukuman tertentu bagi orang yang merosakkan agama seperti ajaran sesat dan murtad. Hal ini telah dinyatakan di dalam Al-Quran iaitu dalam Surah Al-Baqarah ayat 27 yang bermaksud:

“…dan sesiapa dari kamu yang murtad dari agamanya lalu ia mati maka ia menjadi seorang kafir.”

 Dalam memenuhi keperluan fitrah manusia kepada nyawa dan diri, Islam memerintahkan supaya makan dan minum daripada makanan dan minuman yang baik dan juga menjaga kesihatan diri. Islam melarang keras tindakan membunuh diri atau membuat sesuatu perkara yang boleh membinasakan nyawa dan diri. Seterusnya, untuk memenuhi fitrah manusia kepadas akal, Islam mengkehendaki supaya manusia menggunakan akal mereka untuk berfikir perkara yang mendatangkan kebaikan kepada mereka. Islam juga melarang perkara-perkara yang boleh merosakkan akal mereka seperti meminum minuman yang memabukkan. Firman Allah dalam Surah Al-Maidah ayat 90 yang bermaksud:

“…sesungguhnya arak dan judi dan bertenun nasib dan berhala itu najis daripada   syaitan maka jauhilah…”

Selain itu, dalam memenuhi keperluan manusia dari segi keturunan dan maruah ini, Islam mengkehendaki supaya manusia mengadakan hubungan yang halal iaitu melalui perkahwinan.  Bagi memelihara kesucian keturunan dan maruah, Islam melarang dan menghukum kesalahan-kesalahan yang boleh merosakkannya seperti berzina. Allah telah berfirman dalam Surah Al-Isra’ ayat 32 yang bermaksud:

“…dan jangan kamu hampiri zina, sesungguhnya ia sangat keji sejahat-jahat cara.”

Islam sebagai agama yang benar dan sempurna memandang harta tidak lebih daripada sekadar anugerah Allah s.w.t. yang dititipkan kepada manusia. Dalam memenuhi keperluan fitrah manusia kepada harta pula, Islam memberi pemilikan harta individu dan memerintah manusia supaya berusaha mencari rezeki yang halal iaitu secara halal. Islam mengenakan hukuman keras dan melarang harta tersebut daripada dimusnahkan. Dalam surah Al-Muzammil ayat 20, Allah menjelaskan bahawa mencari kehidupan dengan cara bekerja setara kedudukannya dengan berjihad di jalan Allah:

“…dan yang lainnya orang-orang yang musafir di muka bumi untuk mencari rezeki yang berjalan di muka bumi mencari rezeki dari limpah kurnia Allah; dan yang lainnya berjuang pada jalan Allah (membela ugamanya).”

            Kesimpulannya, agama Islam adalah agama yang cukup lengkap dalam semua aspek kehidupan. Ia adalah agama yang mengatur cara hidup manusia di dunia ini agar sentiasa harmoni bukan sahaja di dunia tetapi di akhirat kelak. Sesungguhnya, sistem hidup Islam mendorong kearah kehidupan yang selamat dan sejahtera.

Leave a Reply

*