
Terjemahannya: Dan orang-orang Yang berusaha Dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak ugama kami, Sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan Sesungguhnya (Pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang Yang berusaha membaiki amalannya. (Al-Ankabut: 69)
Apakah usaha yang boleh dilakukan oleh ahli akademik dalam memenuhi hasrat agama Islam?
-Menyumbang fikrah kebaikan dan contoh teladan kepada masyarakat awam.
-Mengkaji, menulis artikel dan buku untuk masyarakat mendapat manfaat.
-Menyeru ke arah kebenaran tanpa ada kepentingan peribadi mahupun parti.
-Memahamkan masyarakat Islam dan bukan Islam tentang Islam.
Semua usaha ini perlu dilakukan dengan tekun, pelan teliti, ikhlas dan sabar bagi manfaat dan impaks sebenar.
Manfaat yang Allah jamin dari usaha yang sedemikian?
-Beroleh pimpinan dan hidayah Allah menuju jalan mendapat status “muslih” dan diredhai Allah.
-Sentiasa mendapat bantuan dan pertolongan Allah.
-Mempunyai daya dan kekuatan memperbaiki diri dan amalan
-Sentiasa berada pada jalan ‘sirat al-Mustaqim’
Sekadar coretan di pagi hari semester baru untuk ingatan diri dan sesiapa yang sudi membaca.
]]>
Lailatul Qadar merupakan malam anugerah Allah kepada umat Islam. Ia berlaku dalam bulan Ramadhan. 10 malam terakhir menurut hadis. Namun ketepatan harinyanya hanya Allah sahaja yang mengetahui. Namun demikian, ulama berbahas mengenai tanda-tandanya. Salah satu tanda post Lailatul Qadar ialah pada waktu paginya matahari bersinar dalam keadaan nyaman tidak terlalu terik dan panas cahayanya. Rasional di sebalik kejadian alam tersebut ialah malaikat-malaikat yang turun pada malamnya akan naik ke langit pada waktu pagi, maka sayap-sayapnya melindungi matahari. Pemerhatian penulis pada waktu pagi 21 Ogos 2011 bersamaan dengan 21 Ramadhan 1432H kedapatan tanda-tanda sedemikian. Cahaya matahari seakan-akan dilitupi sehingga kelihatan matahari bergerak dan bergetar dan cahaya sinar terangnya hanya ada pada sekeliling bulatan matahari. Bagaikan fenomena gerhana matahari penuh. Namun ini hanya telahan, hakikat sebenar bila berlakunya hanya Allah yang Maha mengetahui dan barangkali mereka yang mengalami pengalaman rohani pada malam tersebut mampu mengungkapnya dengan lebih yakin…. Hal ini juga bertepatan dengan ramalam ulama bahawa jika awal puasa jatuh pada Hari Isnin, maka malam al-Qadar jatuh pada 21 Ramadhan…..Wallahu ‘alam. (Gambar di atas hanya hiasan)
Cuba baca sedutan artikel di bawah: (lihat ayat bertanda merah)
]]>
NAIROBI 25 Ogos – Krisis kebuluran di Somalia dijangka akan merebak ke dua lagi kawasan di wilayah selatan di negara ini dengan berjuta-juta lagi orang menderita akibat kemarau teruk.
Penyelaras Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Mark Bowden berkata, Tengah dan Rendah Juba dijangka akan diisytiharkan sebagai zon kebuluran.
Sebelum ini, PBB telah mengisytiharkan lima kawasan di wilayah Somalia Selatan sebagai zon kebuluran. – AFP
]]>Definisi Ilmu Akhlak
Ilmu akhlak ialah ilmu yang membahaskan tata nilai, hukum-hukum atau prinsip-prinsip tertentu bagi mengenal pasti sifat-sifat keutamaan untuk dihayati dan diamalkan dan mengenal pasti sifat-sifat tercela untuk dijauhi dengan tujuan membersihkan jiwa berasaskan wahyu Ilahi bagi mencapai keredaanNya.
Definisi Akhlak Islam
Akhlak Islam pula dapatlah didefinisikan sebagai satu sifat atau sikap keperibadian yang melahirkan perbuatan manusia dalam usaha membentuk kehidupan yang sempurna berdasarkan kepada prinsip-prinsip yang tekah ditetapkan oleh Allah SWT, atau Akhlak itu ialah satu sistem yang menilai perbuatan zahir dan batin manusia baik secara individu, kumpulan dan masyarakat dalam interaksi hidup antara manusia dengan Allah, manusia dengan manusia, manusia dengan alam, malaikat dan jin.
Kedudukan Akhlak Dalam Islam
Akhlak merupakan satu dari tiga komponen asas Islam iaitu Aqidah, Amaliyyah dan Akhlak.
Akidah diibaratkan sebagai akar sebatang pokok manakala ibadah asas sebagai batangnya dan ibadah sunat sebagai ranting-ranting yang melengkapkan ibadah asas yang akhirnya melahirkan akhlak sebagai buahnya.
Berbanding dengan dua komponen yang lain, akhlak ini boleh diibaratkan sebagai buah. Pegangan akidah yang betul dan kuat disertai dengan penghayatan amaliyyah yang komited akan menghasilkan buah akhlak yang manis dan harum, dan begitulah sebaliknya.
Secara bandingannya adalah ertinya sepohon pokok yang gagal menghasilkan buah. Maka bergitulah juga apalah ertinya iman jika tidak mempunyai akhlak yang baik.
RAsulullah SAW ditanya “Apakah al-Din itu? Lalu baginda menjawab al-Din ialah akhlak yang baik”. Dan sabdanya lagi yang bermaksud “Sebaik-baik iman orang mukmin itu ialah yang paling tinggi akhlaknya”. Akhlak mulia ibarat bunga.
Akhlak berkaitan rapat dengan aspek kejiwaan dan dalaman manusia. Aspek dalaman merupakan asas bagi penilaian manusia di sisi Allah SWT.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud “Allah tidak melihat kepada jasad dan harta kamu tetapi Ia melihat kepada amalan dan hati kamu”. Aspek mengenai hati dan yang berkaitan dengannya merupakan bidang dalam ilmu akhlak Islam.
Ciri-Ciri Akhlak Islam
1. BERSIFAT MUTLAK DAN MENYELURUH
Tidak boleh berubah sewenang-wenangnya, mengikut manusia.
Ia digunakan secara saksama kepada semua individu, bangsa, keturunan, dan untuk semua makhluk.
2. LENGKAP DAN SEMPURNA
Ditinjau daripada sudut kejadian manusia yang terdiri daripada pelbagai komponen, akhlak Islam merangkumi semua aspek kemanusiaan iaitu:
Sesuai dengan tututan naluri manusia dalam menyekat sifat tercela.
3. SEDERHANA DAN SEIMBANG
Bersifat Sederhana iaitu tidak Membebankan sehingga menjadi pasif dan tidak pula dibiarkan bebas sehingga menimbulkan bahaya dan kerosakan.
4. MENCAKUPI SURUHAN DAN LARANGAN
Perlaksanaan akhlak Islam meliputi suruhan dan larangan dengan tidak boleh mengutamakan atau mengabaikan aspek tersebut.
5. KESEIMBANGAN
Keseimbangan bagi tuntutan-tuntutan realiti hidup antara rohaniah, jasmaniah dan akliyyah.
Keseimbangan antara kehidupan dunia dan akhirat ang sesuai dengan tabi’i manusia itu sendiri.
Keseimbangan hubungan antara sesama manusia dengan makhluk-makhluk lain.
DIMENSI AKHLAK ISLAMIYYAH
1. HUBUNGAN DENGAN ALLAH DAN RASULNYA
“.. Dan taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya jika kamu orang-orang yang beriman..”
(Surah Al-Anfal, 1)
Harus mencintai Allah dan Rasul melebihi apa pun. Sentiasa berselawat kepada Rasulullah.
2. AKHLAK DENGAN DIRI SENDIRI
Menuntut manusia memunaikan hak-hak dan tuntutan dirinya sendiri seperti yang ditetapkan oleh ALLAH S.W.T sama ada melalui peraturan syariatNya atau peraturan semulajadi kejadiannya dari segi jasmani, rohani, intelek dan emosi.
…dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan, dan berbuat baiklah, Karena Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik..” (Surah Al-Baqarah, 195)
Sabda Rasulullah S.A.W:
“Sesungguhnya bagi dirimu ada ke atas kamu hak, dan bagi ahli keluargamu ada ke atasmu maka tunaikanlah hak bagi setiap yang berhak.
3. AKHLAK DENGAN MANUSIA YANG LAIN.
Dengan Ibu bapa
Tanggungan
Kaum Kerabat.
Jiran Tetangga
Masyarakat
4. AKHLAK DENGAN ALAM
Tidak melakukan pencemaran terhadap alam sekitar dan menjaganya dengan baik.
Alam juga adalah hamba Allah yang sentiasa betibadat kepada ALLAH. FirmanNya.
“..Langit yang tujuh, bumi dan semua yang ada di dalamnya bertasbih kepada Allah. dan tak ada suatupun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya, tetapi kamu sekalian tidak mengerti tasbih mereka. Sesungguhnya dia adalah Maha Penyantun lagi Maha Pengampun..” (Al-Isra’, 44)
“Dan tiadalah kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam.” (Surah Al-Anbiya’,107)
Pengutusan Rasulullah SAW ke alam ini bertujuan untuk menanamkan kemuliaan akhlak dalam kalangan manusia yang sebelumnya hidup tanpa satu sistem akhlak yang adil, universal dan saksama. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud “Sesungguhnya aku diutuskan bertujuan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak”.
]]>Konsep Akhlak
Walaupun manusia boleh dipisahkan daripada bidang ilmu atau pemikiran, bahkan juga boleh dipisahkan daripada agama dan kepercayaan, tetapi tidak boleh dipisahkan dengan akhlak atau moral. Ini kerana setiap perbuatan, amalan atau tindakan yang diambil tidak terlepas atau terkeluar daripada lingkungan hukuman sama ada terhadap dirinya atau orang lain ataupun benda lain iaitu adakah baik atau tidak segala tindakan tersebut. Jika baik jawapannya perkara itu akan dilakukan tetapi jika jahat perkara itu akan ditinggalkan. Itulah akhlak yang baik. Tetapi jika sebaliknya yang dilakukan itulah akhlak yang buruk.
Dari sini ternyata kedudukan akhlak dalam kehidupan manusia sehingga di kalangan orang yang tidak bermoral mereka merasakan perlu adanya suatu akhlak yang diakui bersama oleh mereka supaya dapat mengatur kehidupan yang lebih baik menurut pandangan mereka.
Islam merangkumi aqidah, dan syariat itu mengandungi roh akhlak. Akhlak adalah roh kepada risalah Islam sementara syariat adalah lembaga jelmaan daripada roh tersebut. Ini bererti Islam tanpa akhlak seperti rangka yang tidak mempunyai isi, atau jasad yang tidak bernyawa. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud : “Islam itu akhlak yang baik”. Begitu juga sabda Baginda yang bermaksud : “Tidak ada sesuatu yang lebih berat timbangannya selain daripada akhlak yang mulia.”
Pengertian Akhlak
Akhlak dari segi bahasa : berasal daripada perkataan ‘khulq’ yang bererti perilaku, perangai atau tabiat. Maksud ni terkandung dalam kata-kata Aisyah berkaitan akhlak Rasulullah saw yang bermaksud : “Akhlaknya (Rasulullah) adalah al-Quran.” Akhlak Rasulullah yang dimaksudkan di dalam kata-kata di atas ialah kepercayaan, keyakinan, pegangan, sikap dan tingkah laku Rasulullah saw yang semuanya merupakan pelaksanaan ajaran al-Quran.
Akhlak dari segi istilah : Menurut Imam al-Ghazali, “Akhlak ialah suatu sifat yang tertanam dalam jiwa yang daripadanya timbul perbuatan-perbuatan dengan mudah tanpa memerlukan pertimbangan terlebih dahulu.”
Menurut Ibnu Maskawih, “Akhlak ialah keadaan jiwa seseorang yang mendorong untuk melakukan perbuatan-perbuatan tanpa pertimbangan akal fikiran terlebih dahulu.”
Menurut Profesor Dr Ahmad Amin, “Akhlak ialah kehendak yang dibiasakan dan ia akan menjadi kebiasaan yang mudah dilakukan.”
Akhlak berasal dari perkataan Al Khuluq. Al-Khuluq bererti tabiat atau tingkah laku. Menurut Iman Al Ghazali, akhlak merupakan gambaran tentang keadaan dalam diri manusia yang telah sebati dan daripadanya terbit tingkah laku secara mudah dan senang tanpa memerlukan pertimbangan atau pemikiran. Akhlak sangat penting dan pengaruhnya sangat besar dalam membentuk tingkah laku manusia. Apa saja yang lahir dari manusia atau segala tindak-tanduk manusia adalah sesuai dengan pembawaan dan sifat yang ada dalam jiwanya.
Tepatlah apa yang dikatakan oleh Al-Ghazali dalam bukunya Ihya’ Ulumuddin, “Sesungguhnya semua sifat yang ada dalam hati akan lahir pengaruhnya (tandanya) pada anggota manusia, sehingga tidak ada suatu perbuatan pun melainkan semuanya mengikut apa yang ada dalam hati manusia”.
Tingkah laku atau perbuatan manusia mempunyai hubungan yang erat dengan sifat dan pembawaan dalam hatinya. Umpama pokok dengan akarnya. Bermakna, tingkah laku atau perbuatan seseorang akan baik apabila baik akhlaknya, sepertimana pokok, apabila baik akarnya maka baiklah pokoknya. Apabila rosak akar, maka akan rosaklah pokok dan cabangnya. Allah Subhanahuwata’ala berfirman:
“Dan tanah yang baik, tanaman-tanamannya tumbuh subur dengan seizin Allah, dan tanah yang tidak subur, tanaman-tanamannya hanya tumbuh merana. Demikianlah Kami mengulangi tanda-tanda kebesaran (Kami) bagi orang-orang yang bersyukur.”
(Al- A’raf: 58)
Akhlak yang mulia adalah matlamat utama bagi ajaran Islam. Ini telah dinyatakan oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dalam hadisnya (yang bermaksud, antara lain:
“Sesungguhnya aku diutuskan hanyalah untuk menyempurnakan akhlak yang mulia”.
Hal ini ditegaskan lagi oleh ayat al-Qur’an dalam firman Allah:
“Dan Sesungguhnya kamu benar-benar berbudi pekerti yang agung”
(Al-Qalam: 4)
Juga dalam firman Allah swt. lagi:
Orang –orang yang jika kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat yang ma’ruf dan mencegah dari perbuatan yang mungkar dan kepada Allah kembali segala urusan.
(Al Hajj, 22 : 41)
Firman Allah swt. lagi:
Bukanlah menghadapkan wajahmu ke arah timur dan barat itu suatu kebajikan, akan tetapi sesungguhnya kebajikan itu ialah beriman kepada Allah, hari kemudian, malaikat-malaikat, kitab-kitab, nabi-nabi dan memberikan harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak–anak yatim, orang-orang miskin, (yang memerlukan pertolongngan) dan orang-orang yang meminta-minta, dan (memerdekakan) hamba sahaya, mendirikan solat, dan menunaikan zakat, dan orang-orang yang menepati janjinya apabila ia berjanji, dan orang-orang yang sabar dalam kesempitan, penderitaan, peperangan, mereka itulah orang-orang yang benar (imannya) dan mereka itulah orang-orang yang bertakwa.
(Al-Baqarah, 2: 177)
Akhlak yang mulia adalah merupakan tanda dan hasil dari iman yang sebenar. Tidak ada nilai bagi iman yang tidak disertai oleh akhlak. Sebuah athar menyatakan (antara lain, bermaksud):
“Bukanlah iman itu hanya dengan cita – cita tetapi iman itu ialah keyakinan yang tertanam didalam hati dan dibuktikan dengan amalan”
Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam pernah ditanya: Apa itu agama? Baginda menjawab: Kemuliaan akhlaq (Husnul Khulq). Bila ditanya tentang kejahatan, baginda menjawab: Akhlak yang buruk (Su’ul khalq).
Diriwayatkan dari Annawas bin Sam’an ra. berkata, “Saya bertanya kepada Rasulullah saw. Tentang bakti dan dosa, maka jawab Nabi saw. “Bakti itu baik budi pekerti, dan dosa itu ialah semua yang meragukan dalam hati dan tidak suka diketahui orang.” (HR. Muslim)
Abu Darda berkata, “Bersabda Nabi saw, “Tiada sesuatu yang lebih berat dalam timbangan seorang mukmin di hari kiamat daripada husnul Khulq (akhlak yang baik).” (HR. At Tirmidzi)
Aisyah ra. Berkata, “Saya telah mendengar Rasulullah saw. bersabda, “Sesungguhnya seorang mukmin yang dapat mengejar budi pekerti yang baik, darjat orang itu sama seperti orang yang terus menerus berpuasa dan solat malam.” (HR. Abu Daud)
Jabir ra. berkata, “Rasulullah saw. bersabda, “Sesungguhnya orang yang sangat saya kasihi dan terdekat denganku pada hari kiamat nanti adalah orang terbaik akhlaknya. Dan orang yang sangat aku benci dan terjauh dariku pada hari kiamat nanti adalah orang yang banyak bicara, sombong dalam pembicaraannya, dan berlagak menunjukan kepandaiannya.” (HR. At Tirmidzi).
Kekuatan akhlak lahir melalui proses panjang yang memerlukan kesediaan untuk sentiasa memberi komitmen dengan nilai-nilai Islam. Seorang ulama menjelaskan thariqah (jalan) untuk membina akhlak islami adalah dengan kemahuan untuk melaksanakan latihan (tadribat) dan pendidikan (tarbiyah). Setiap muslim memiliki kesempatan yang sama untuk menjadi baik atau buruk, masalahnya adalah sejauh mana usaha kita untuk mendisiplinkan diri dengan nilai-nilai dan amalan Islam bagi melahirkan muslim yang berakhlak ampuh. Malangnya keampuhan akhlak inilah yang sering dilupakan. Malah kian rapuh sehingga hilangnya jatidiri muslim hakiki. Justeru menjadi punca lunturnya sinar Islam pada penghujung zaman. Gejala keruntuhan akhlak yang berlegar di sekeliling kita seperti zina hati, mata, lisan dan seumpamanya meruntun jiwa kita selaku pendokong agama. Keruntuhan yang tidak dikawal pada satu tahap yang minima membawa insan kepada bertuhankan nafsu, lantas melupakan terus Pencipta Yang Maha Esa.
Islam adalah ajaran yang benar untuk memperbaiki manusia dan membentuk akhlaknya demi mencapai kehidupan yang baik. Islam memperbaiki manusia dengan cara terlebih dahulu memperbaiki jiwa, membersihkan hati dan menanamkan sifat-sifat terpuji. Islam benar-benar dapat membawa manusia untuk mencapai kebahagiaan, kelapangan dan ketenteraman.
Sebaliknya manusia akan menjadi hina apabila ia merosakkan sifat, pembawaan dan keadaan dalam jiwanya. Allah Subhanahuwata’ala berfirman :
“Sesungguhnya Allah tidak merobah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merobah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.”
(Ar-Ra’d: 11)
Daripada definisi tersebut dapat kita fahami bahawa akhlak merupakan suatu perlakuan yang tetap sifatnya di dalam jiwa seseorang yang tidak memerlukan daya pemikiran di dalam melakukan sesuatu tindakan.
Perbezaan Akhlak, Moral dan Etika
Yang dimaksudkan dengan akhlak secara umum ialah sistem atau tingkah laku manusia yang bersumberkan kepada asas wahyu atau syarak. Sementara yang dimaksudkan dengan etika ialah sistem tingkah laku manusia yang selain daripada wahyu, tegasnya yang bersumberkan falsafah. Kata etika berasal daripada bahasa Inggeris “Ethic” dan bahasa Greek “Ethos” yang membawa maksud nilai-nilai atau perkara yang berkaitan dengan sikap yang menentukan tingkah laku sesuatu golongan.
Kata moral pula ialah tingkah laku yang telah ditentukan oleh etika. Tingkah laku yang telah ditentukan oleh etika sama ada baik atau jahat dinamakan moral. Moral ini terbahagi kepada dua iaitu baik dan jahat. Yang baik ialah segala tingkah laku yang dikenal pasti oleh etika sebagai baik. Danyang jahat ialah tingkah laku yang dikenal pasti oleh etika sebagai jahat.
Perbezaan Antara Akhlak dan Moral/Etika
i) Akhlak merupakan satu sistem yang menilai tindakan zahir dan batin manusia manakala moral ialah satu sistem yang menilai tindakan zahir manusia sahaja.
ii) Akhlak mencakup pemikiran, perasaan dan niat di hati manusia dalam hubungan manusia dengan Allah, manusia dengan manusia dan manusia dengan makhluk lain manakala moral mencakupi pemikiran, perasaan dan niat di hati manusia dalam hubungan manusia dengan manusia sahaja.
iii) Nilai-nilai akhlak ditentukan oleh Allah swt melalui al-Quran dan tunjuk ajar oleh Rasulullah saw manakala moral ditentukan oleh manusia.
iv) Nilai-nilai akhlak bersifat mutlak, sempurna dan tetap manakala nilai-nilai moral bersifat relatif, subjektif dan sementara.
Contoh-contoh Perbezaan Antara Akhlak dan Moral
1. Pakaian : Menurut Islam pakaian bagi seseorang muslim mestilah menutup aurat. Seandainya mereka tidak menutup aurat maka ia telah dianggap sebagai orang yang tidak berakhlak kerana telah melanggar peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah swt. Berbeza dengan moral, jika seseorang itu mendedahkan aurat tetapi masih mempunyai perlakuan yang baik, maka mereka masih dianggap bermoral oleh sesetengah pihak.
2. Pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan : Fenomena seumpama ini sudah menjadi suatu lumrah bai masyarakat di Barat dan masyarakat kita. Berdasarkan penilaian Barat perkara ini masih dianggap bermoral, sebaliknya jika dilihat dari sudut akhlak Islam, perlakuan sedemikian sudah dianggap tidak berakhlak.
3. Bersalaman : Bersalaman di antara lelaki dan perempuan yang bukan mahramnya adalah haram menurut Islam walaupun tujuannya untuk merapatkan hubungan. Tetapi perkara ini dibolehkan dalam sistem moral.
Dimensi / Skop Akhlak Islam
Skop akhlak Islam adalah luas merangkumi segenap perkara yang berkaitan dengan kehidupan manusia sama ada hubungan manusia dengan Allah, hubungan manusia dengan manusia dan hubungan manusia dengan makhluk lain.
a) Akhlak dengan Allah : Antara ciri-ciri penting akhlak manusia dengan Allah swt ialah :
b) Akhlak dengan manusia :
c) Akhlak terhadap makhluk selain manusia :
Sumber Akhlak Islam
Dalam Islam akhlak adalah bersumber dari dua sumber yang utama iaitu al-Quran dan al-Sunnah. Ini ditegaskan leh Rasulullah saw dalam sepotong hadith yang bermaksud : “Sesungguhnya aku diutuskan hanya semata-mata untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.”
Allah swt telah memuji Rasulullah kerana akhlaknya yang baik seperti yang terdapat dalam al-Quran, firman Allah swt yang bermaksud : “Sesungguhnya engkau seorang memiliki peribadi yang agung (mulia).”
Kedudukan Akhlak dalam Islam
Akhlak mempunyai kedudukan yang paling penting dalam agama Islam. Antaranya :
Kepentingan Akhlak dalam Kehidupan Manusia
Akhlak merupakan garis pemisah antara yang berakhlak dengan orang yang tidak berakhlak. Akhlak juga merupakan roh Islam yang mana agama tanpa akhlak samalah seperti jasad yang tidak bernyawa. Oleh itu salah satu misi yang dibawa oleh Rasulullah saw ialah membina kembali akhlak manusia yang telah runtuh sejak zaman para nabi yang terdahulu ekoran penyembahan berhala oleh pengikutnya yang telah menyeleweng.
Hal ini juga berlaku pada zaman jahiliyyah yang mana akhlak manusia telah runtuh berpunca daripada mewarisi perangai umat yang terdahulu dengan tradisi meminum arak, membuang anak, membunuh, melakukan kezaliman sesuka hati, menindas, suka memulau kaum yang rendah martabatnya dan sebagainya. Dengan itu mereka sebenarnya tidak berakhlak dan tidak ada bezanya dengan manusia yang tidak beragama.
Akhlak juga merupakan nilai yang menjamin keselamatan daripada api neraka. Islam menganggap mereka yang tidak berakhlak tempatnya dia dalam neraka. Umpamanya seseorang itu melakukan maksiat, menderhaka kepada ibu bapa, melakukan kezaliman dan sebagainya, sudah pasti Allah akan menolak mereka daripada menjadi ahli syurga.
Selain itu, akhlak juga merupakan ciri-ciri kelebihan di antara manusia kerana ianya lambang kesempurnaan iman, ketinggian taqwa dan kealiman seseorang manusia yang berakal. Dalam hal ini Rasulullah saw bersabda yang bermaksud : “Orang yang sempurna imannya ialah mereka yang paling baik akhlaknya.”
Kekalnya sesuatu ummah juga kerana kukuhnya akhlak dan begitulah juga runtuhnya sesuatu ummah itu kerana lemahnya akhlaknya. Hakikat kenyataan di atas dijelaskan dalam kisah-kisah sejarah dan tamadun manusia melalui al-Quran seperti kisah kaum Lut, Samud, kaum nabi Ibrahim, Bani Israel dan lain-lain. Ummah yang berakhlak tinggi dan sentiasa berada di bawah keredhaan dan perlindungan Allah ialah ummah yang seperti di Madinah pada zaman Rasulullah saw.
Ketiadaan akhlak yang baik pada diri individu atau masyarakat akan menyebabkan berlaku pelbagai krisis dalaman dan luaran seperti krisis nilai diri, keruntuhan rumahtangga, masyarakat belia yang mundur dan boleh membawa kepada kehancuran sesebuah negara. Presiden Perancis ketika memerintah Perancis dulu pernah berkata : “Kekalahan Perancis di tangan tentera Jerman disebabkan tenteranya runtuh moral dan akhlak.”
Pencerminan diri seseorang sering digambarkan melalui tingkah laku atau akhlak yang ditunjukkan. Malahan akhlak merupakan perhiasan diri bagi seseorang sebagaimana aqidah merupakan tunjang agama, syariat merupakan cabang dan rantingnya manakala akhlak adalah yang mewarnai seperti bunga-bungaan yang menyerikan hiasan pokok tersebut.
Akhlak tidak dapat dibeli atau dinilai dengan wang ringgit Ia wujud di dalam diri seseorang hasil daripada didikan kedua ibu bapa atau penjaga serta pengaruh dari masyarakat sekeliling mereka. Jika sejak kecil kita didedahkan dengan akhlak yang mulia, maka secara tidak langsung ia akan mempengaruhi tingkah laku dalam kehidupan sehari-hari hinggalah seterusnya.
Proses pembentukan sesebuah masyarakat adalah sama seperti membina sebuah bangunan. Kalau dalam pembinaan bangunan, asasnya disiapkan terlebih dahulu, begitu juga dengan membentuk masyarakat mesti dimulakan dengan pembinaan asasnya terlebih dahulu. Jika kukuh asas yang dibina maka tegaklah masyarakat itu. Jika lemah maka robohlah apa-apa sahaja yang dibina di atasnya.
Akhlak amat penting kerana merupakan asas yang dilakukan oleh Rasulullah saw ketika memulakan pembentukan masyarakat Islam. Sheikh Mohamad Abu Zahrah dalam kitabnya Tanzim al-Islam Li al-Mujtama’ menyatakan bahawa budi pekerti atau moral yang mulia adalah satu-satunya asas yang paling kuat untuk melahirkan manusia yang berhati bersih, ikhlas dalam hidup, amanah dalam tugas, cinta kepada kebaikan dan benci kepada kejahatan.
Ciri-ciri Akhlak Islam
Di antara ciri-ciri akhlaq yang sewajarnya menghiasi diri seseorang insan supaya ia menjadi seorang muslim yang benar adalah akhlaq-akhlaq berikut:
1. Bersifat warak dari melakukan perkara-perkara yang syubhat
Seorang muslim mestilah menjauhkan dirinya dari segala perkara yang dilarang oleh Allah dan juga perkara-perkara yang samar-samar di antara halal dan haramnya (syubhat) berdasarkan dari hadith Rasulullah yang berbunyi:
“Daripada Abu Abdullah al-Nu’man ibn Basyer r.a. beliau berkata: Aku telah mendengar RasulullahSallallahu’alaihiwasallam bersabda: Sesungguhnya yang halal itu nyata (terang) dan haram itu nyata (terang) dan di antara keduanya ada perkara-perkara yang kesamaran, yang tidak diketahui oleh kebanyakan manusia. Maka barangsiapa memelihara (dirinya dari) segala yang kesamaran, sesungguhnya ia memelihara agamanya dan kehormatannya. Dan barangsiapa jatuh kedalam perkara kesamaran jatuhlah ia kedalam yang haram, seperti seorang pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan, hampir sangat (ternakannya) makan di dalamnya. Ketahuilah! Bahawa bagi tiap-tiap raja ada kawasan larangan. Ketahuilah! Bahawa larangan Allah ialah segala yang diharamkan-Nya. Ketahuilah! Bahawa di dalam badan ada seketul daging, apabila ia baik, baiklah badan seluruhnya dan apabila ia rosak, rosakkalah sekeliannya. Ketahuilah! Itulah yang dikatakan hati.
(Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim)
Adapun setinggi-tinggi pencapaian darjat wara’ adalah sebagaimana yang diriwayatkan oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dalam hadith baginda (antara lain, bermaksud):
“Seorang hamba (Allah) itu tidaklah termasuk dalam martabat golongan muttaqin sehinggalah ia meninggalkan sesuatu perkara yang tidaklah menjadi kesalahan (jika dilakukan tetapi ia meninggalkannya) kerana sikap berhati-hati dari terjerumus ke dalam kesalahan”
2. Memelihara penglihatan.
Seseorang muslim itu mestilah memelihara pandangan daripada melihat perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah kerana pandangan terhadap sesuatu (yang menarik itu) boleh merangsang syahwat dan boleh membawa ke kancah pelanggaran dan maksiat. Sehubungan dengan ini Al-Quranul Karim mengingatkat orang –orang mu’min supaya memelihara diri dari penglihatan yang tidak memberi faedah, firman Allah Subahanu Wata,ala:
Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih Suci bagi mereka, Sesungguhnya Allah Maha mengetahui apa yang mereka perbuat”.
(An-Nur: 30)
Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam pula bersabda (antara lain, bermaksud):
“Pandangan itu ada satu panahan dari panahan iblis”
Baginda juga mengingatkan (antara lain, bermaksud):
“Hendaklah kamu memelihara pandangan kamu, menjaga kehormatan (kemaluan) kamu atau Allah akan menghodohkan wajah kamu.”
(Hadith Riwayat At Tabrani)
3. Memelihara Lidah
Seseorang muslim itu mestilah memelihra lidahnya dari menuturkan kata-kata yng tidak berfaedah, perbualan-perbualan yang buruk dan kotor, percakapan-percakapan kosong, mengumpat, mengeji dan mengadu domba. Imam Nawawi rahimahumullah mengatakan. “ketahuilah, seorang mukallaf itu sewajarnya menjaga lidahnya dari sebarang percakapan kecuali percakapan yang menghasilkan kebaikan. Apabila bercakap dan berdiam diri adalah sama sahaja hasilnya, maka mengikut sunnahnya adalah lebih baik berdiam diri kerana percakapan yang diharuskan mungkin membawa kepada yang haram atau makruh. Kejadian demikian telah banyak berlaku tetapi kebaikan darinya adalah jarang.”
Sebenarnya banyak dari hadith-hadith Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam yang menerangkan keburukan dan bencana lidah ke atas empunya diri (antara lain):
“Tidaklah dihumbankan muka manusia kedalam neraka itu sebagai hasil tuaian (jelek) lidahnya”
(Hadith riwayat Al Tarmizi)
Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam juga bersabda:
“Bukanlah ia seorang mu’min (jika) jika ia suka menuduh, melaknat, bercakap kotor dan keji.”
(Hadith riwayat At Tarmizi)
Sabda baginda lagi:
“Sesiapa yang banyak bercakap, maka banyaklah kesalahannya, sesiapa yang banyak kesalahannya, maka banyaklah dosanya, dan sesiapa yang banyak dosanya, api nerakalah paling layak untuk dirinya.”
(Diriwayatkan oleh Baihaqi)
4. Bersifat Pemalu.
Seorang muslim mestilah bersifat pemalu dalam setiap keadaan. Namun demikian sifat tersebut tidak seharusnya menghalangnya memperkatakan kebenaran. Di antara sifat pemalu seseorang ialah ia tidak masuk campur urusan orang lain, memelihara pandangan, merendah diri, tidak meninggikan suara ketika bercakap, berasa cukup seta memadai sekadar yang ada dan sifat-sifat seumpamanya. Diceritakan dari Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bahawa baginda adalah seorang yang sangat pemalu, lebih pemalu dari anak gadis yang berada di balik tabir.
Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda:
“Iman itu mempunyai tujuh puluh cabang atau enam puluh cabang, maka yang paling utama ialah ucapan Lailaha Illallah (Tidak ada Tuhan yang sebenar melainkan Allah) dan yang paling rendah ialah menyingkirkan duri dari jalan. Dan sifat malu ialah satu cabang dari Iman”
Berhubung dengan sifat malu ini para ulama’ mengatakan: “Hakikat malu itu ialah sifat yang menggerakkan seseorang itu meninggalkan kejahatan, dan menghalangnya dari mencuaikan hak orang lain.
5. Bersifat Lembut dan Sabar
Di antara sifat-sifat yang paling ketara yang wajib tertanam di dalam diri seseorang Muslim ialah, sifat sabar dan berlemah lembut kerana kerja-kerja untuk Islam akan berhadapan dengan perkara-perkara yang tidak menyenangkan, malah jalan da’wah sememangnya penuh dengan kepayahan, penyiksaan, penindasan, tuduhan, ejekan dan persendaan yang memalukan. Halangan–halangan ini sering dihadapi oleh para petugas ‘amal Islami sehingga himmah mereka menjadi pudar, gerakan menjadi lumpuh malah mereka mungkin terus berpaling meninggalkan medan da’wah.
Dari keterangan ini jelaslah, tugas dan tanggungjawab seorang pendakwah adalah satu tugas yang amat sukar. Ia bertanggungjawab menyampaikan da’wah kepada seluruh lapisan manusia yang berbeza kebiasaan, taraf pemikiran dan tabi’atnya. Da’i akan menyampaikan da’wahnya kepada orang-orang jahil dan orang-orang ‘alim, orang yang berfikiran terbuka dan yang emosional (sensitif), orang yang mudah bertolak ansur dan yang keras kepala, orang yang tenang dan yang mudah tersinggung. Oleh yang demikian ia wajib menyampaikan da’wah kepada semua golongan itu sesuai dengan kadar kemampuan penerimaan akal mereka. Ia mestilah berusaha menguasai dan memasuki jiwa mereka seluruhnya. Semua ini sudah pasti memerlukan kekuatan dari kesabaran yang tinggi, ketabahan dan lemah lembut.
Oleh itu kita dapati banyak ayat-ayat Al-quran dan hadith Nabi menganjur dan mengarahkan agar seorang da’i itu berakhlak dengan sifat-sifat sabar, lemah lembut dan berhati-hati.
Arahan-arahan Dari Al-Qur’an:
Di antara arahan-arahan al-qur’an ialah:
Firman-firman Allah:
“Tetapi orang yang bersabar dan memaafkan, sesungguhnya (perbuatan) yang demikian itu termasuk hal-hal yang diutamakan”.
(Al-Syura, 42: 43)
“Maafkanlah mereka dengan cara yang baik”
(Al-Hijr, 15: 85)
“Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas”.
(Az-Zumar, 39: 10)
“Dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada, apakah kamu tidak ingin Allah mengampunimu?”.
(An-Nur, 24 : 22)
“Dan apabila orang-oran jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata (yang mengandungi) keselamatan”.
(Al-Furqan 25 :63)
Arahan-arahan dari hadith-hadith Nabi.
Di antara arahan-arahan dari hadith-hadith Nabi ialah:
Sabda-sabda Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam (yang bermaksud, antara lain):
“Sesungguhnya seorang hamba itu akan mencapai darjat orang-orang yang berpuasa serta bersembahyang malam dengan sifat lemah-lembutnya.”
“Mahukah aku memberitahu kamu suatu perkara yang dengannya, Allah akan memuliakan binaan (kedudukan seseorang) dan mengangkatnya kepada beberapa darjat ketinggian. Mereka menjawab: Ya wahai Rasulullah. Baginda bersabda: “Berlemah-lembutlah kamu terhadap orang jahil, maafkanlah orang yang menzalimi kamu, hulurkanlah pemberian kepada orang yang menahan pemberiannya kepadamu dan sambunglah ikatan silaturrahim terhadap orang yang memutuskannya terhadap kamu.”
“Apabila Allah Subhanahuwata’ala telah menghimpunkan makkhluknya di hari kiamat, penyeru pada hari itu pun menyeru; “Di manakah orang-orang yang mempunyai keistimewaan”. Baginda bersabda: Lalu bangun segolongan manusia dan bilangan mereka adalah sedikit. Mereka semua bergerak dengan cepat memasuki syurga lalu disambut oleh para malaikat. Kemudian mereka ditanya: “Apakah keistimewaan kamu”. Mereka menjawab: “Adalah kami ini apabila dizalimi kami bersabar, apabila dilakukan kejahatan kepada kami, kami berlemah-lembut”, lalu dikatakan kepada mereka: “Masuklah kamu ke dalam syurga kerana ia adalah sebaik-baik ganjaran bagi orang yang beramal”
Contoh-contoh praktikal dari Nabi:
1. Pada hari peperangan Hunain seorang (yang tidak puas hati dengan pembahagian rampasan perang) berkata:“Demi Allah, sesungguhnya ini adalah pembahagian yang tidak adil dan tidak bertujuan mendapat keredhaan Allah”.Setelah diceritakan kepada Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam baginda bersabda:
“Semoga Allah merahmati Nabi Musa kerana ia disakiti lebih dari ini tetapi ia sabar”.
2. Anas Radiyallahu anh telah berkata:
“Pada suatu hari Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam telah memasuki sebuah masjid. Ia memakai kain selendang buatan najran yang kasar buatannya. Tiba-tiba seorang Arab Badwi datang dari arah belakang baginda lalu menarik kain tersebut dari belakang sehingga meninggalkan bekas di leher baginda. Badwi tersebut berkata : “Wahai Muhammad, berikanlah kepada kami harta Allah yang ada di sisimu, lalu Rasulullah berpaling kepadanya dengan wajah yang tersenyum dan baginda bersabda: “Perintahkan kepada yang berkenaan supaya berikan kepadanya.”
3. Abu Hurairah menceritakan:
“Bahawa seorang Arab Badwi telah berkata kepada Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam: “Wahai Muhammad bawalah gandum ke atas dua ekor untaku, kerana kalau engkau buat begitu ia bukan harta engkau dan bukan juga harta bapa engkau”. Kemudian ia menarik kain selendang Rasulullah sehingga meninggalkan kesan kemerahan di leher baginda. Lalu Rasulullah memerintahkan supaya membawa kepada Badwi tersebut seguni gandum dan tamar”.
4. Al-Tabrani menceritakan:
“Bahawa seorang wanita berkata lucah (yakni ucapan yang menimbulkan berahi) kepada sekelompok lelaki, kemudian ia lalu dihadapan Nabi Sallallahu’alaihiwasallam ketika Nabi sedang memakan roti berkuah di atas tanah. Kemudian wanita itu berkata: “Lihatlah kamu kepadanya, ia duduk seperti seorang hamba abdi dan ia makan seperti seorang hamba abdi”.
5. Abu Hurairah radiallahu anh menceritakan:
“Bahawa seorang leleki berkata : “Wahai Rasulullah, sesungguhnya saya mempunyai kaum kerabat yang selalu saya hubungi mereka tetapi mereka semua memutuskan hubungan dengan saya, saya berbuat baik kepada mereka tetapi mereka berbuat jahat terhadap saya, saya berlemah-lembut dengan mereka tetapi mereka bersikap keras terhadap saya.” Lalu baginda bersabda : “Jika sekiranya engkau berbuat seperti yang engkau katakan seolah-olah engkau menjemukan mereka dan engkau tetap akan mendapat pertolongan dari Allah selama engkau berbuat demikian”.
6. Pada suatu ketika datang seorang yahudi menuntut hutang dengan Rasulullah dengan berkata: “Kamu dari Bani Abd.Manaf adalah bangsa yang suka melambat-lambatkan pembayaran hutang”. Ketika itu Umar Ibn Al-Khattab ada bersama dan ia hampir memenggal leher Yahudi itu, lalu Rasulullah berkata kepadanya: “Wahai Umar, sepatutnya engkau menyuruhnya meminta kepadaku dengan cara yang baik dan menuntut aku juga membayar dengan baik”.
7. Diriwyatkan bahawa Nabi Isa Alaihissalam bersama para pengikut setianya (Hawariyyun) dari satu kampung ke satu kampung yang lain kerana berda’wah. Lalu di dalam da’wahnya itu ia bercakap kepada manusia dengan cara yang baik, sebaliknya mereka membalasnya dengan kata-kata yang buruk, kutukan dan maki-hamun. Para pengikut setia itu merasa hairan terhadap tindakan itu lalu mereka bertanya tentang rahsia perbuatan sedemikian. Baginda berkata: “Setiap orang itu mengeluarkan (membelanjakan) apa yang ada padanya”.
Semua peristiwa di atas dan peristiwa lainnya menjadi bukti yang menguatkan lagi tuntutan ke atas para penda’wah supaya bersifat lemah-lembut, sabar dan belapang dada khususnya apabila cabaran-cabaran yang menyakitkan itu datangnya dari kaum kerabat, sahabat-handai, orang-orang yang dikasihi, teman-teman rapat dan saudara mara kerana sifat-sifat lemah-lembut, sabar dan berlapang dada itu akan menghasilkan kasih-sayang, kelembutan hati dan menghapuskan perpecahan serta perbezaan. Cukuplah oleh seorang penda’wah itu mendapat apa yang diredhai oleh Allah.
6. Bersifat Benar dan Jujur.
Seorang muslim itu mestilah bersifat benar dan tidak berdusta. Berkata benar sekalipun kepada diri sendiri kerana takut kepada Allah dan tidak takut kepada celaan orang. Sifat dusta adalah sifat yang paling jahat dan hina malahan ia menjadi pintu masuk kepada tipu daya syaitan. Seorang yang memelihara dirinya dari kebiasaan berdusta bererti ia memiliki pertahanan dan benteng yang dapat menghalang dari was-was syaitan dan lontaran-lontarannya. Berhati-hati dan memelihara diri dari sifat dusta akan menjadikan jiwa seorang itu mempunyai pertahanan dan benteng yang kukuh menghadapi hasutan dan tipu daya syaitan. Dengan demikian jiwa seseorang akan sentiasa bersih, mulia dan terhindar dari tipu daya syaitan. Sebaliknya sifat dusta meruntuhkan jiwa dan membawa kehinaan kepada peribadi insan. Lantaran itu Islam mengharamkan sifat dusta dan menganggap sebagai satu penyakit dari penyakit-penyakit yang dilaknat.
Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda (yang bermaksud, antara lain):
“Sesungguhnya sifat benar membawa kepada kebajikan dan sesungguhnya kebajikan itu membawa ke syurga. Seseorang yang sentiasa bersifat benar hinggalah dicatat di sisi Allah sebagai seorang yang benar. Dan sesungguhnya sifat dusta itu membawa kepada kezaliman (kejahatan) dan kejahatan itu membawa ke neraka. Seorang lelaki yang sentiasa berdusta sehinggalah dicatat di sisi Allah sebagai seorang pendusta”.
(Muttafaqun ‘alaihi)
7. Bersifat rendah diri
Seseorang mislim mestilah bersifat tawadhu’ atau merendah diri khususnya terhadap saudara-maranya yang muslim dengan cara tidak membezakan (dalam memberi layanan) sama ada yang miskin maupun yang kaya. Rasulullh Sallallahu’alaihiwasallam sendiri memohon perlindungan kepada Allah agar dijauhkan dari sifat-sifat takbur (membangga diri). Baginda bersabda (antara lain, bermaksud):
“Tidak akan memasuki syurga sesiapa yang di dalam hatinya terdapat sebesar zarah (sedikit) sifat takbur.”
(Hadis Riwayat Muslim)
Di dalam hadith qudsi Allah berfirman :
“Kemuliaan itu ialah pakaianKu dan membesarkan diri itu ialah selendangKu. Sesiapa yang cuba merebut salah satu dari keduanya pasti Aku akan menyeksanya”.
(Hadith Qudsi riwayat Muslim)
8. Menjauhi sangka buruk dan mengumpat
Menjauhi sangka buruk dan mengintai-intai keburukan orang lain. Oleh itu seorang itu mestilah menjauhi sifat-sifat ini kerana mematuhi firman Allah:
“Hai orang-orang yang beriman jauhilah kebanyakan dari prasangka, sesungguhnya sebahagian dari prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang dari kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah maha penerima taubat lagi penyayang”.
(Al-Hujurat, 49 : 12)
Allah berfirman lagi:
“Dan orang-orang yang menyakiti orang-orang mu’min dan mu’minat tanpa kesalahan yang mereka perbuat, maka sesungguhnya mereka telah memikul kebohongan dan dosa yang nyata.”
(Al-Ahzab, 33 : 58)
Dan Rasulullah bersabda (antara lain, bermaksud):
“Wahai golongan yang beriman dengan lidahnya sahaja, sedang iman belum memasuki hatinya, janganlah kamu mengumpat orang-orang Islam yang lain dan janganlah kamu mengintai-intai keburukan mereka, kerana sesiapa yang mengintai-intai keburukan saudaranya, Allah akan membongkar keburukannya sekalipun ia berada di dalam rumahnya.”
(Hadith riwayat Abu Daud)
9. Bersifat pemurah
Seorang muslim mestilah bersifat pemurah, sanggup berkorban dengan jiwa dan harta bendanya pada jalan Allah. Di antara cara yang dapat menyingkap kebakhilan seseorang itu ialah dengan cara memintanya membelanjakan wang ringgit kerana berapa banyak dari kalangan mereka yang berkedudukan, berharta dan berpangkat gugur dari jalan ini, lantaran rakus terhadap mata benda. Di dalam Al-Qur’an Al-Karim sendiri terdapat berpuluh-puluh ayat yang menjelaskan ciri-ciri keimanan yang dikaitkan dengan sifat pemurah.
Diantaranya:
“Orang-orang yang mendirikan shalat dan yang menafkahkan sebagian dari rezki yang kami berikan kepada mereka.”
(Al-Anfal, 8: 3)
“Dan apa saja harta yang baik yang kamu nafkahkan (di jalan Allah) maka pahalanya itu untuk diri kamu sendiri. Dan janganlah kamu membelanjakan sesuatu melainkan kerana mencari keredhaan Allah. Dan apa saja harta yang baik yang kamu nafkahkan nescaya kamu akan diberikan pahalanya dengan cukup sedang kamu sedikitpun tidak dianiayai”.
(Al-Baqarah, 2 : Ayat 272)
Orang-orang yang bakhil atau kikir seharusnya mendengar dan mengambil pelajaran dari pesanan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam (antara lain, bermaksud):
“Tidak ada suatu haripun yang dilalui oleh seorang hamba kecuali (hari-hari) didatangi oleh dua malaikat lalu seorang darinya berdo’a : “Ya Allah, berikanlah ganti kepada si hamba yang menafkahkan hartanya”. Manakala malaikat yang ke dua berdo’a : “Ya Allah, berikanlah kebinasaan kepada sihamba yang bakhil ini”.
10. Qudwah Hasanah (Suri teladan yang baik)
Selain dari sifat-sifat yang disebutkan di atas, seorang muslim mestilah menjadikan dirinya contoh ikutan yang baik kepada orang ramai. Segala tingkah lakunya adalah menjadi gambaran kepada prinsip-prinsip Islam serta adab-adabnya seperti dalam hal makan minum, cara berpakaian, cara pertuturan, dalam suasana aman, dalam perjalanan malah dalam seluruh tingkah laku dan diamnya. Membina diri menajdi suri teladan merupakan peranan besar yang telah dilaksanakan oleh Rasulullah saw. Firman Allah swt yang bermaksud:
“ Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah ” ( Surah al Ahzab : Ayat 21)
_____________________________________________________________________________________________
Islam menyeru agar manusia menghiasi jiwa dengan akhlak yang baik dan menjauhkan diri daripada akhlak yang buruk. Baik atau buruknya akhlak seseorang ditentukan berlandaskan syarak, iaitu perkara yang diperintahkan oleh syarak, maka itulah yang baik dan perlu diamalkan. Perkara yang dilarang oleh syarak itulah yang buruk dan perlu dijauhi apatah lagi diamalkan. Hal ini berdasarkan hadis riwayat Bukhari dan Muslim (sila rujuk Hadis ke-9 dalam Hadis 40 Imam Nawawi).
Maksudnya : Daripada Abu Hurairah r.a, ‘Abdurrahman Bin Shakhr r.a berkata: “Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda : “Apa-apa yang telah aku larang untukmu, maka jauhilah dan apa-apa yang telah aku perintahkan kepadamu, maka kerjakanlah semampumu. Sesungguhnya orang-orang sebelum kamu dibinasakan disebabkan mereka banyak bertanya dan menentang nabi-nabi mereka (tidak taat dan patuh).
Lingkungan skop atau dimensi akhlak Islam adalah luas meliputi segala perbuatan manusia dengan Allah, manusia dengan manusia dan manusia dengan makhluk selain manusia. Hal ini telah diterangkan secara lanjut dalam subtopik yang bertajuk skop akhlak sebelum ini.
Islam menghubungkan akhlak dengan keimanan. Orang yang paling sempurna keimanannya ialah orang yang paling baik akhlaknya. Sebagai contoh yang terdapat dalam hadis riwayat Bukhari dan Muslim (Sila rujuk Hadis 13 dalam Hadis 40 Imam Nawawi) yang bermaksud:
Dari Abu Hamzah, Anas Bin Malik r.a, pelayan Rasulullah berkata : Nabi S.A.W telah bersabda:“Tidak sempurna keimanan seseorang di antara kamu sehingga dia tidak mencintai saudaranya (sesama Muslim) sebagaimana dia mencintai dirinya.”
Perasaan sayang atau cinta terhadap saudara seagama termasuk dalam kategori akhlak terhadap sesama manusia. Jika seseorang tidak memenuhi hak saudara seaqidahnya, maka tidak sempurnalah imannya.
Ciri-ciri akhlak Islam mempunyai konsep balasan dan ganjaran pahala atau syurga oleh Allah dan sebaliknya bagi orang yang berakhlak buruk akan mendapat dosa atau diseksa dalam neraka. Hal ini diterangkan dalam sebuah hadis riwayat Bukhari dan Muslim di dalam kedua kitabnya (sila rujuk Hadis ke-37 dalam Hadis 40 Imam Nawawi) yang bermaksud :
Dari Ibn ‘Abbas r.huma meriwayatkan dari Rasulullah S.A.W suatu wahyu dari Allah S.W.T, firmanNya:
“Sesungguhnya Allah telah menetapkan nilai kebaikan-kebaikan dan kejahatan-kejahatan kemudian menerangkannya. Maka barangsesiapa berniat mengerjakan kebaikan kemudian tidak mengerjakannya, Allah mencatatkannya sebagai satu kebaikan yang sempurna.Dan jika dia berniat mengerjakan kebaikan, kemudian dia mengerjakannya, Allah mencatatkannya nilai kebaikan itu 10 kali ganda sampai 700 kali ganda bahkan berlipat ganda lagi. Dan jika dia berniat mengerjakan kejahatan tetapi dia tidak mengerjakannya, Allah mencatatkan padanya satu kebaikan yang sempurna. Dan jika dia berniat mengerjakan kejahatan, kemudian dia melakukannya, Allah mencatatkan padanya satu kejahatan.”
Hadis ini memberitahu kita bahawa pekerjaan yang baik dan dilakukan mengikut kaedah yang diajarkan Islam, maka pelakunya akan mendapat balasan yang baik dan diberikan pahala kebaikan berlipat kali ganda. Manakala pekerjaan yang buruk dibalas dengan balasan yang buruk.
Jika diteliti hadis ini, dapatlah kita tahu bahawa kasih sayang Allah terhadap hambaNya sangat melimpah ruah kerana jika seseorang hambaNya hanya berniat untuk berbuat kebaikan tetapi masih belum melakukannya, pelakunya sudah mendapat ganjaran daripada Allah. Jika seseorang hambaNya berniat untuk melakukan kejahatan, pelakunya tidak diberi balasan buruk selagi dia tidak melakukan keburukan yang dia niatkan tadi.
Selain itu, Allah juga telah berfirman di dalam Surah Al-Bayyinah ayat 6 dan 7 yang bermaksud:
“ Sungguh, orang-orang yang kafir dari golongan ahli kitab dan orang-orang musyrik (akan masuk) ke neraka Jahanam, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Mereka itu adalah sejahat-jahat makhluk. Sungguh, orang-orang beriman dan mengerjakan kebaikan, mereka itulah adalah sebaik-baik makhluk. Balasan mereka di sisi Tuhan mereka ialah Syurga ‘Adn yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Allah redha terhadap mereka dan mereka redha kepadaNya..,”
Firman Allah di atas memberitahu kita bahawa sesiapa yang mengerjakan kebaikan akan dibalas dengan syurga dan balasan neraka bagi mereka yang mengerjakan kejahatan.
Jalan-jalan Pembentukan Akhlak Mulia
Akhlak adalah sesuatu perilaku yang boleh diubah dan dibentuk, contohnya Saidina Umar al-Khattab, sebagaimana keadaan beliau semasa berada di zaman jahiliyyah berbanding keadaannya sesudah memeluk agama Islam. Dari sini dapat disimpulkan bahawa akhlak merupakan sesuatu yang semulajadi tetapi ianya perlu dibentuk. Terdapat beberapa cara untuk membentuk dan membina akhlak mulia. Antara cara-cara itu ialah melalui :
a) Pendidikan Iman sebagai Asas Akhlak
Pendidikan merupakan salah satu cara untuk mencorak manusia menjadi seseorang yang beriman. Iman adalah asas kepada akhlak Islam. Tidak akan sempurna iman seseorang jika tidak disertai oleh akhlak yang baik. Contohnya dengan melaksanakan segala perintah Allah yang berupa ibadah kerana kesemua perintah Allah tersebut bertujuan untuk membersihkan diri dan menyuburkan jiwa manusia dengan sifat-sifat terpuji.
Lantaran itu setiap ayat al-Quran menyeru manusia berbuat baik dan mencegah manusia daripada melakukan perbuatan mungkar. Biasanya didahului dengan panggilan “Wahai orang-orang yang beriman” kemudian barulah diikuti dengan perintah atau larangan. Iman yang teguh tetap memerlukan akhlak yang teguh. Jika berlaku kemerosotan akhlak di kalangan manusia, puncanya adalah kelemahan iman dan tertakluk kepada kefasikan atau kejahatan yang dilakukan oleh seseorang.
Pendidikan iman bolehlah disimpulkan sebagai suatu pemulihan tenaga keimanan seseorang supaya dapat mempertahankan diri manusia daripada segala kerendahan dan keburukan serta dapat mendorong manusia ke arah kemuliaan.
b) Melalui Latihan dan Bimbingan Pendidik Berkualiti
Pendidikan yang diberikan itu hendaklah bermula dari rumah yang ditangani oleh ibu bapa. Selepas itu barulah berpindah ke peringkat sekolah hingga ke pusat pengajian tinggi bagi pendidikan berbentuk formal. Ibu bapa seharusnya mempunyai keperibadian dan akhlak yang mantap sebagai pendidik dan pembinbing seperti lemah lembut dalam pertuturan, pergaulan, sabar, lapang dada, istiqamah, berwawasan dan seumpamanya.
c) Mengambil Rasulullah saw Sebagai Contoh
Rasulullah adalah contoh teladan dan ikutan yang paling tepat bagi semua peringkat kehidupan. Bersesuaian dengan itu, Allah swt telah berfirman bahawa Nabi Muhammad saw diutuskan kepada manusia untuk menyempurnakan akhlak di kalangan mereka. Firman Allah yang bermaksud : “Demi sesungguhnya bagi kamu pada diri Rasulullah saw itu contoh ikutan yang baik bagi orang-orang yang sentiasa mengharapkan keredhaan Allah dan balasan baik di hari akhirat serta sentiasa menyebut dan memperingati Allah dalam masa senang dan susah.” Contoh-contoh akhlak Rasulullah saw :
1. Akhlak Rasulullah saw dengan Allah swt
2. Akhlak Rasulullah saw dengan sesama manusia
3. Akhlak Rasulullah saw dengan makhluk lain.
Faktor-faktor keruntuhan akhlak (Halangan dalam pembentukan akhlak)
a) Persekitaran
Faktor persekitaran banyak mempengaruhi pembentukan peribadi seseorang. Antaranya ialah :
b) Nafsu
Nafsu adalah anugerah Allah swt kepada manusia dan nafsu juga adalah musuh sebati dengan diri manusia yang melaksanakan hasrat nafsu manusia. Manusia yang terlalu menurut kehendak nafsunya akan terdorong untuk melakukan keburukan. Seandainya nafsu tidak dapat dikawal, sudah asti boleh menghilangkan maruah diri, agama dan nilai budaya sesebuah masyarakat dan membawa kepada kemungkaran sebagaimana berlaku dalam masyarakat kini.
c) Syaitan
Satu lagi musuh ghaib yang sentiasa mendampingi manusia dengan memperalatkan nafsu manusia iaitu syaitan. Fungsi syaitan adalah sebagai agen perosak akhlak manusia berlaku sejak Nabi Adam a.s. dan berterusan hingga ke hari kiamat.
Kesimpulannya setiap manusia yang hidup terpaksa menghadapi ujian dan cubaan hidup dalam usaha melatih diri menjadi manusia yang berakhlak dan bersedia menghadapi segala rintangan.
Cara-cara mengatasi dan memperbaiki akhlak :
UDI3052 Akhlak Dalam Islam (BAB 4), http://sites.google.com/site/khazalii/4udi2052akhlakdalamislam diakses pada 24 Mac 2011.
]]>Disediakan oleh: Najihah Binti Mohd Nawi, Suhaira Binti Maktar, Nuramira Binti Sujak, Nur Zahawani Binti Mokhtar, Norhairiah Binti Ahmad.
Penetapan hukum syariah berdasarkan maksud dan tujuan syariah, yakni berdasarkan pertimbangan kemaslahatan. Penekanannya terletak pada upaya menyingkap dan menjelaskan hukum yang dihadapi melalui pertimbangan maslahah. Perubahan hukum yang berlaku berdasarkan perubahan zaman dan tempat adalah untuk menjamin syariah dapat mendatangkan kemaslahatan kepada manusia. Setiap perundangan hukum mestilah bertujuan untuk melindungi kepentingan agama, nyawa, akal, keturunan, dan juga harta.
MEMELIHARA AGAMA
Menjaga agama merupakan perkara utama yang ditegaskan menurut susunan maqasid syar’iyah. Setiap individu diwajibkan menyebarkan agama dan menjaganya daripada ancaman musuh. Firman Allah yang bermaksud:
“Diwajibkan atas kamu berperang, padahal itu tidak menyenangkan bagimu. Tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui”. (Surah al-Baqarah: ayat 216)
Firman Allah lagi:
“Barang siapa murtad di antara kamu, dari agamanya, lalu dia mati dalam kekafiran, maka mereka itu sia-sia amalnya di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya”. (Surah al-Baqarah: ayat 217)
Islam datang untuk membebaskan minda dan kepercayaan manusia daripada belenggu khurafat, tahyul, kemunafikan dan kesyirikan. Islam mengajak manusia beriman kepada Tuhan dan (rukun iman) serta menjauhi anasir-anasir syirik. Menjaga agama Islam perlu didahului dengan kita mengetahui komponen agama yang terdiri daripada tiga unsur penting iaitu Iman , Islam dan Ehsan. Penghayatan iman yang sebenar-benarnya dengan ilmu yang mantap akan membentuk watak. Penghayatan Islam dengan amal akan membentuk kesatuan hubungan dengan Allah swt manakala ehsan dihayati akan membentuk kesatuan sesama manusia.
Menjaga agama dilakukan dengan:
MEMELIHARA NYAWA
Wujudnya syariat Islam juga bertujuan untuk menjamin keselamatan nyawa dan anggota tubuh badan manusia. Oleh itu, setiap individu diwajibkan untuk menjaga keselamatan diri masing-masing daripada segala jenis ancaman. Islam melarang keras perbuatan-perbuatan yang boleh mengancam keselamatan nyawa diri sendiri mahupun orang lain. Islam memuliakan nyawa seseorang dan menganggap bahawa menghilangkan nyawa seseorang adalah kejahatan besar yang sama dengan menghilangkan seluruh nyawa manusia. Firman Allah:
“ Barang siapa yang membunuh seseorang, bukan kerana orang itu membunuh orang lain, atau bukan kerana membuat kerosakan di muka bumi, maka sekan-akan dia telah membunuh semua manusia. Barang siapa memelihara kehidupan seorang manusia, maka seakan-akan dia telah memelihara kehidupan semua manusia”. (Surah al- Ma’idah:ayat 32)
Seperti yang kita ketahui, Islam menjaga jiwa seseorang dengan memberikan ancaman hukuman qisas bagi seorang yang menghilangkan nyawa seseorang. Hukuman qisas ialah kesalahan yang dikenakan hukuman balas. Firman Allah:
“Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu (melaksanakan) qisas berkenaan dengan orang yang dibunuh. (Surah al-Baqarah: ayat 178)
Hukuman menghilangkan atau mencederakan salah satu anggota badan orang lain atau melakukannya wajib dibalas dengan hukuman qisas mengikut kadar kecederaan atau luka seseorang itu juga mengikut jenis anggota yang dicederakan atau dilukakan. Sebagai contohnya:
1) Membunuh dibalas dengan bunuh (nyawa dibalas dengan nyawa)
2) Melukakan dibalas dengan melukakan
3) Mencederakan dibalas dengan mencederakan
Hal ini juga ada dinyatakan di dalam al-Quran. Firman Allah yang bermaksud:
“Dan Kami telah tetapkan atas mereka di dalam kitab Taurat itu, bahawasanya jiwa dibalas dengan jiwa, dan mata dibalas dengan mata, dan hidung dibalas dengan hidung, dan telinga dibalas dengan telinga, dan gigi dibalas dengan gigi, dan luka- luka juga hendaklah dibalas (seimbang). Tetapi sesiapa yang melepaskan hak membalasnya, maka menjadilah ia penebus dosa baginya. Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang- orang yang zalim”. (Surah al-Mai’dah: ayat 45)
Selain itu, Islam juga melarang seseorang yang tidak menghargai nyawanya. Contohnya, perbuatan membunuh diri. Allah telah berfirman yang bermaksud:
“Dan janganlah kamu membunuh dirimu. Sesungguhnya, Allah Maha Penyayang kepadamu”. (Surah an-Nisa: ayat 29)
Walau apapun alasan dan caranya, membunuh diri hukumnya haram dan perbuatan ini tergolong dalam perbuatan syirik. Orang yang melakukan syirik tidah akan diampuni dosanya oleh Allah, bahkan akan kekal di seksa dalam api neraka. Firman Allah yang bermaksud:
“Sesungguhnya barang siapa mempersekutukan (sesuatu dengan) Allah, maka sungguh, Allah mengharamkan syurga baginya, dan tempatnya ialah neraka”. (Surah al-Ma’dah: ayat 72)
MEMELIHARA AKAL
Maqasid syari’yah juga menekankan umat Islam untuk menjaga dan memelihara akal yang dikurniakan Allah dengan sebaik-baiknya dan jauh daripada sebarang kerosakan yang memudaratkan. Sebagai umat yang terpilih, kita seharusnya bersyukur dengan kurniaan-Nya yang tidak ternilai dan tidak pula ada pada makhluk-makhluk lain selain manusia. Akal memainkan peranan penting dalam sesebuah kehidupan lantaran besarnya fungsi akal dalam menentukan dan mencorakkan arah tuju hidup setiap individu. Individu yang berakal layak diberikan taklif iaitu tanggungjawab terhadap hukum syarak dalam Islam. Anugerah akal yang diberikan oleh Allah adalah untuk manfaat manusia juga supaya kita berfikir, memahami dan menghayati apa jua ciptaanNya samada di langit dan di bumi.
Terdapat pelbagai cara untuk memelihara akal supaya seseorang individu jauh daripada anasir-anasir negatif yang memudaratkan. Cara berfikir seharusnya selaras dengan tuntutan Islam yang menyuruh umatnya agar menghayati dan berfikir akan perkara yang baik dan sentiasa berfikiran positif. Selain itu juga, kita juga seharusnya pandai mengawal pemikiran dengan memikirkan sesuatu yang bermanfaat sebagai renungan dan dijadikan teladan dalam melayari sebuah kehidupan dengan penuh ketenangan. Sebagai contoh apabila seseorang memikirkan tentang kebesaran ciptaan Allah, hati akan menjadi tenang dan hal ini seterusnya mewujudkan suasana yang damai dalam kehidupan.
Kita hendaklah menuntut ilmu supaya akal kita berfungsi dengan elok. Dalam pada itu juga, kita digalakkan untuk menuntut ilmu yang memberikan kebaikan dan menyumbang kepada ketaatan kepada Allah. Bekalan ilmu yang diperoleh membolehkan seseorang membezakan antara perkara yang baik atau buruk. Hal ini demikian menjurus pula kepada tingkah laku yang tertib dan jauh daripada perbuatan maksiat yang dimurkai Allah.
Kesihatan akal berkait rapat dengan gaya pemakanan yang diambil oleh individu dari hari ke hari. Makanan yang halal lagi berkhasiat amat digalakkan kerana hal ini memberikan kesan positif kepada perkembangan dan pemikiran seseorang. Perbuatan menjauhi makanan yang tidak sesuai untuk akal seharusnya dijauhi kerana dikhuatiri dapat merosakkan akal. Dalam surah al-Mai’dah ayat 90, Allah telah berfirman :
“Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya minuman keras, berjudi, (berkorban untuk) berhala, dan mengundi nasib dengan anak panah, adalah perbuatan keji dan termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah (perbuatan-perbuatan) itu agar kamu beruntung”.
Dalam surah ini Allah melarang keras hambaNya daripada minum arak kerana ternyata arak memberikan keburukan kepada akal. Seseorang yang minum arak lebih berpotensi untuk melakukan lebih banyak kezaliman atau kemungkaran. Hal ini demikian berlaku apabila akal tidak dapat berfikir dengan waras samada perkara itu baik atau buruk. Hadis Ibnu Umar r.a katanya; Rasulullah s.a.w bersabda:
“Setiap minuman yang memabukkan adalah arak dan setiap yang memabukkan adalah haram. Sesiapa yang meminum arak di dunia lalu meninggal dunia dalam keadaan dia masih tetap meminumnya dan tidak bertaubat, maka dia tidak akan dapat meminumnya di akhirat kelak (di syurga)”.
Hukuman hudud meminum arak ialah sebat, tetapi jumlahnya terdapat dua riwayat; dalam satu hadis diriwayatkan bahawa baginda Rasulullah telah memukul (sebat) seorang lelaki yang meminum arak dengan dua pelepah tamar sebanyak empat puluh kali dan begitu juga dilakukan oleh Abu Bakar tetapi pada masa Saidina Umar, beliau berbincang dengan sahabat-sahabat dan berkata seorang sahabat, Abdul Rahman seringan-ringan hudud ialah lapan puluh kali sebatan (Muslim, Sahih : hlm. 214) dan Umar menurutnya.
MEMELIHARA KETURUNAN
Kemuliaan dan keperibadian seseorang amat penting dalam kehidupan setiap individu. Hal ini berkait rapat dengan kehormatan dan maruah diri. Malah, Islam sendiri dibina di atas akhlak yang mulia. Islam tegas dalam memuliakan kehormatan dan garis keturunan. Kemuliaan keturunan dipelihara dengan mengharamkan penganiayaan kepada kehormatan. Maka, syariat Islam telah melarang seseorang itu daripada mendekati perbuatan zina. Firman Allah:
“Dan janganlah kamu mendekati zina;(zina) itu sungguh suatu perbuatan keji, dan suatu jalan yang buruk.” (al-Isra’: ayat 32)
Bagi mereka para pelaku zina diancam hukuman yang berat, kerana merosak kehormatan seseorang. Pezina yang belum berkahwin dikenakan hukuman sebatan sebanyak 100 kali sebatan. Firman Allah yang bermaksud:
“Pezina perempuan dan pezina laki-laki, deralah masing-masing dari keduanya seratus kali, dan janganlah rasa belas kasihan kepada keduanya mencegah kamu untuk (menjalankan) agama (hukum) Allah, jika kamu beriman kepada Allah dan hari kemudian; dan hendaklah (pelaksanaan) hukuman mereka disaksikan oleh sebahagian orang-orang yang beriman”. (Surah an-Nur: ayat 2)
Lebih khusus, pezina yang sudah berkahwin diancam hukuman mati (rejam) kerana merosakkan kehormatan rumah tangga sekaligus mencampur adukkan nasab. “Di riwayatkan daripada Imam Muslim, dari Abi Hurairah berkata, seorang lelaki muslim telah datang berjumpa Rasulullah s.a.w. yang pada ketika itu sedang berada di masjid dan dia memanggil Rasulullah seraya berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku telah melakukan zina”. Dan dia mengulangi kata-kata itu sebanyak empat kali. Kemudian dia membawa empat orang saksi. Rasulullah s.a.w. bertanya, “Adakah engkau hilang akal ketika engkau berzina”? Dijawabnya: “Tidak”. Rasulullah bertanya lagi: “Adakah engkau telah berkahwin”? lelaki itu pun menjawab, “Ya”. Maka Rasulullah mengarahkan para sahabat pada ketika itu; “Bawalah dia dan rejamlah dia”.
Qazar, iaitu penuduh zina juga dikenakan hukuman 80 kali sebatan. Firman Allah:
“Dan orang-orang yang menuduh perempuan-perempuan yang baik (berzina) dan mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka deralah mereka delapan puluh kali, dan janganlah kamu terima kesaksian mereka untuk selama-lamanya. Mereka itulah orang-orang yang fasik,” (Surah an-Nur: ayat 4).
Contohnya dalam cerita Saidatina Aisyah yang dituduh oleh Abdullah bin Ubai berzina dengan Saidina Safwan ( sahabat Nabi Muhammad). Dan Abdullah Bin Ubai telah dikenakan hukuman sebatan sebanyak 80 kali.
Kesimpulannya, tegahan dan larangan Allah dalam keturunan ini mempunyai tujuan yang satu iaitu menghindarkan manusia daripada terjatuh ke lembah kehinaan.
MEMELIHARA HARTA
Allah swt sebenarnya telah menyediakan segala‐galanya di alam ini untuk kemudahan manusia mentadbir dan memakmurkan alam ini yang antaranya berupa harta. Manusia disuruh supaya berusaha mendapatkannya dan menjaganya agar dibelanjakan ke arah memakmurkan kehidupan ini dalam acuan yang dikehendaki Allah swt. Firman Allah swt dalam Surah Luqman ayat 20 yang bermaksud:
“Tidakkah kamu memerhatikan bahawa Allah telah menundukkan apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi untuk (kepentingan) mu dan menyempurnakan nikmat-Nya untukmu zahir dan batin”.
Kehidupan yang sempurna bagi seseorang manusia juga amat berkait rapat dengan pemilikan dan penguasaan terhadap harta. Islam mengakui kepemilikan individu atas harta dan menghargainya. Maka, Islam melarang memperoleh harta dari yang lainnya kecuali dengan cara dan transaksi yang sah, baik, dan saling meredhai. Allah telah berfirman:
“Dan janganlah kamu memakan harta di antara kamu dengan jalan yang batil”. (Surah al-Baqarah: ayat 188)
Sebab itu disyariatkan akad-akad yang membolehkan perpindahan harta dan hak milik dengan cara berniaga, bekerja dan mewarisi. Bagi memastikan harta diperoleh dan diuruskan dengan baik, maka dijelaskan:
1. Panduan mencari rezeki atau harta yang halal
2. Cara menafkahkan harta pada jalan-jalan yang disyariatkan
3. Hak-hak Allah terhadap harta yang perlu ditunaikan
4. Larangan makan harta secara batil
Syariah Islam telah menggariskan peraturan, hukum dan undang-undang tersendiri dalam soal kehartaan. Hal ini dibincangkan secara meluas dalam disiplin dan bidangnya yang tersendiri yang dikenali sebagai FIQH MUAMALAT. Kalimah “Fiqh” berasal daripada kalimah bahasa Arab yang membawa maksud kefahaman. Dari segi istilah pula, kalimah ini bermaksud ilmu berkaitan hukum-hukum amali syariat, yang dikeluarkan daripada dalil-dalilnya yang “tafsil”. Muamalat pada pengertian umum bermaksud segala hukum yang mengatur hubungan manusia dimuka bumi, dan secara khusus merujuk kepada urusan yang berkaitan dengan harta. Maka istilah Fiqh Muamalat secara khusus merujuk kepada ilmu berkaitan hukum-hukum syariat yang mengatur urusan manusia berkaitan harta.
Syariah Islam menegaskan mengenai kepentingan untuk mencari kekayaan daripada nikmat dan anugerah Allah swt. Pemilikan harta hendaklah diusahakan melalui cara dan pendekatan yang diharuskan. Misalnya syariah Islam telah mengharuskan jual beli dan mengharamkan riba. Dalam usaha pemilikan harta, selain daripada riba, syariah Islam juga telah mengharamkan perjudian, rasuah dan pengurangan atau penipuan dalam timbangan. Firman Allah yang bermaksud:
“Kemudian kamu benar-benar akan ditanya pada hari itu tentang kenikmatan (yang megah di dunia itu)”. (Surah at-Takasur: ayat
Firman Allah lagi:
“Wahai manusia! Makanlah dari (makanan) yang halal dan baik yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah setan. Sungguh, setan itu musuh yang nyata bagimu.” (Surah al-Baqarah: ayat 168)
Syariah Islam turut menetapkan cara dan kaedah tersendiri bagi membelanjakan harta seperti mewajibkan zakat kepada harta-harta tertentu dan amat menggalakkan sedekah serta pemberian hadiah dalam keadaan tertentu. Islam sangat menggalakkan supaya umat Islam membudayakan derma, sedekah, hibah, wakaf dan sebagainya untuk berkongsi nikmat harta yang telah Allah swt kurniakan kepada mereka. Harta tersebut boleh dimanfaatkan oleh golongan yang tidak berkemampuan untuk membina hidup mereka.
Bahkan, Allah swt mewajibkan umat Islam yang telah cukup syarat-syaratnya untuk membayar zakat kepada asnaf-asnaf. Objektif pensyariatannya dinyatakan dalam firman Allah dalam Surah al-Hasyr ayat 7 yang bermaksud:
“…….agar harta itu jangan hanya beredar di antara orang-orang kaya sahaja di antara kamu.”
Harta daripada perspektif Islam adalah milik Allah dan manusia menjadi khalifah untuk mengurusnya dan ditugaskan memakmurkan bumi. Justeru itu, bekerja diwajibkan dengan tujuan mendapatkan rezeki dan menjalankan tugas memakmurkan bumi.
KESIMPULAN
Syariat Islam tidak didatangkan melainkan untuk menjaga atau menjamin kelima-lima perkara di atas dalam kehidupan manusia. Kelima-lima perkara tersebut iaitu agama, nyawa, akal, keturunan, dan harta dianggap sebagai keperluan yang bersifat asasi dalam diri setiap individu yang harus dipatuhi. Bagi menentukan bahawa kehidupan semua individu seimbang, syariah Islam telah menetapkan semua keperluan ini diberi penarafan melalui maslahah Dharuriyyat, maslahah Hajiyat, dan juga maslahah Tahsiniyat.
]]>
Islam merupakan mesej Allah S.W.T kepada seluruh umat manusia di serata dunia dan di setiap zaman. Berteraskan wahyu melalui dua sumber utamanya yang muqaddas iaitu al- Quran dan al-sunnah islam tetap unggul dan bertahan sepanjang zaman semenjak dari zaman awal kemunculannya sehingga kini. Ini semua kembali kepada tabiat islam itu sendiri yang bersifat dinamik dan mempunyai objektif atau maqasid yang jelas dan bertepatan dengan hidup manusia sejagat.
Penelitian deduktif dan induktif terhadap sumber-sumber syariat islam telah mengesahkan bahawa maqasid utama syariat islam ialah untuk memberi kemaslahatan kepada manusia samada menarik maslahah (manfaat) tersebut atau menolak keburukan (mudharat) daripada manusia.Oleh itu didapati semua hukum syara’ bernaung di bawah konsep jaminan maslahah kepada manusia bukan sahaja di dunia malah menjangkaui alam akhirat (sesuai dengan kata al-’Izz B. Abdu al-Salam bahawa islam itu semuanya maslahah , samada dengan mendatangkan maslahah mahupun mengelakkan mudharat) (1).
(1) Al-Izz bin Abdul Salam, Qawaid al-Ahkam fi Masalih al-Anam, Beirut, Dar al-Ma’rifah, jil.1, m.s.9
Kertas kerja ini merupakan satu penghuraian ringkas mengenai makna maqasid, konsepnya dan kedudukannya . Ia juga turut menghuraikan pelbagai pengkategorian maqasid menurut perspektif yang berbeza, faedah-faedah memahami maqasid dan kaedah mengenali maqasid. Kemudian penulis cuba menilai sejauh mana kepentingan maqasid syara’ dalam menilai sesuatu.
PERTAMA:KONSEP MAQASID
1.Definisi Maqasid
Maqasid merupakan matlamat yang ingin dicapai dalam melakukan sesuatu.Dalam konteks ini maqasid yang dimaksudkan ialah maqasid atau objektif yang diletakkan oleh syara’ dalam mensyariatkan hukum.Antara istilah popular yang digunakan ialah maqasid syariah, maqasid al-Syari’(Allah) dan maqasid syara’ atau di dalam Bahasa Arabnya maqasid al-syariah, maqasid al-Syari’ dan al-maqasid al- syar’iyyah. (2)
(2) Ahmad al-Raisuni, Nazariyyat al-Maqasid I’nda al-Imam al-Syatibi, Beirut, al-Maahad al-Alami li al-Fikr al-Islami, 1992,m.s.13
Terdapat pelbagai pendefinisian telah dilontarkan oleh ulama usul fiqh tentang istilah maqasid. Ulama klasik tidak pernah mengemukakan definisi yang spesifik terhadap maqasid, malah al-Syatibi yang terkenal sebagai pelopor ilmu maqasid (3) pun tidak pernah memberikan definisi tertentu kepadanya. Namun ini tidak bermakna mereka mengabaikan maqasid syara’ di dalam hukum-hukum syara’. Pelbagai tanggapan terhadap maqasid dapat dilihat di dalam karya-karya mereka. Kita akan dapati tanggapan ulama klasik yang pelbagai inilah yang menjadi unsur di dalam definisi-definisi yang dikemukakan oleh ulama mutakhir selepas mereka. Apa yang pasti ialah nilai-nilai maqasid syara’ itu terkandung di dalam setiap ijtihad dan hukum-hukum yang dikeluarkan oleh mereka. Ini kerana nilai-nilai maqasid syara’itu sendiri memang telah terkandung di dalam al-Quran dan al-Sunnah (4).
(3) Hammad al-Obeidi, al-Syatibi wa Maqasid al-Syariah, Mansyurat Kuliat al-Da’wah al-Islamiyyah, Tripoli, cet. Pertama, 1401H/1992M, m.s. 131
(4) Muhammad Fathi al-Duraini, al-Manahij al-usuliyyah, Beirut, Muassasah al-Risalah, 1997M, m.s.48.
Ada yang menganggap maqasid ialah maslahah itu sendiri, samada menarik maslahah atau menolak mafsadah.Ibn al-Qayyim menegaskan bahawa syariah itu berasaskan kepada hikmah-hikmah dan maslahah-maslahah untuk manusia samada di dunia atau di akhirat.Perubahan hukum yang berlaku berdasarkan perubahan zaman dan tempat adalah untuk menjamin syariah dapat mendatangkan kemaslahatan kepada manusia (5).Sementara Al-Izz bin Abdul Salam juga berpendapat sedemikian apabila beliau mengatakan “Syariat itu semuanya maslahah, samada menolak kejahatan atau menarik kebaikan…” (6).
(5) Ibn Qayyim al-Jauziyyah, I’lam al-Muwaqqi’in, Beirut, Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 1996M, jil.3, m.s.37
(6) Al-Izz bin Abdul Salam, opcit, jil.1, m.s.9.
Ada juga yang menyifatkan maqasid sebagai mengelakkan kemudaratan. Al-Qadi I’yad telah berkata “berhukum untuk mengelakkan kemudaratan adalah wajib”.Ada juga yang menyifatkan maqasid sebagai mengelakkan kesusahan atau masyaqqah.Ini sebagaimana yang dikemukakan oleh Ibn al-Arabi dengan kata-katanya ” Tidak harus membebankan seseorang dengan apa yang ia tidak mampu”.(7)
(7) Nuruddin Mukhtar, al-Khadimi, al-Ijtihad al-Maqasidi,Qatar , 1998M , m.s.49-50.
Ada juga yang memahami maqasid sebagai lima prinsip islam yang asas iaitu menjaga agama, jiwa, akal , keturunan dan harta.Di satu sudut yang lain, ada juga ulama klasik yang menganggap maqasid itu sebagai logik pensyariatan sesuatu hukum. (8)
(8) Nuruddin Mukhtar, al-Khadimi, al-Ijtihad al-Maqasidi,Qatar , 1998M , m.s.50
Manakala ulama-ulama mutakhirin seperti Al-imam al-Syatibi yang sinonim kepada ilmu maqasid tidak pernah mengemukakan definisi yang spesifik untuk istilah maqasid.Ini mungkin disebabkan beliau merasakan bahawa umum sudah memahaminya. (9)
(9) I’wad bin Muhammad al-Qarni, al-Mukhtasar al-Wajiz fi Maqasid al-Tasyri’, Jeddah, Dar al-andalus al-Khadra’, 1419H, m.s.17.
Ibn Asyur mendefinisikan maqasid sebagai “Segala pengertian yang dapat dilihat pada hukum-hukum yang disyariatkan pada keseluruhannya atau sebahagian besarnya” (10) .Ini bermakna maqasid bukanlah pengertian yang dapat dilihat pada hukum – hukum tertentu secara khusus.Contohnya melahirkan kebaikan , menolak kejahatan dan konsep kesamarataan antara manusia yang ada pada setiap pensyariatan hukum-hukum syara’.Ibn Asyur telah membahagikan maqasid dengan lebih terperinci lagi dengan mengkategorikannya kepada dua iaitu maqasid umum dan maqasid khusus.Menurut beliau maqasid umum ialah maqasid yang dapat dilihat dalam hukum-hukum yang wajib dan melibatkan semua individu secara umum .Manakala maqasid khusus pula ialah cara yang digunakan oleh syariah bagi merealisasikan kepentingan umum melalui tindak- tanduk perseorangan.Contohnya hukum merekodkan perjanjian hutang dalam bidang muamalat.
(10) Mohammad al-Tahir al-Misawi, Ibn Asyur wa Kitabuhu Maqasid al-Syariah al-Islamiyyah, Mkuala Lumpur, Al-Basyair li al-Intaj al-Ilmi, 1998M, m.s.171 .
I’lal al-Fasi mendefinisikan maqasid sebagai “matlamat syariah dan rahsia-rahsia pensyariatan setiap hukum (islam)”.Beliau juga telah membahagikan maqasid kepada dua iaitu maqasid umum dan maqasid khusus.Maqasid umum ialah matlamat syariah secara umum, manakala maqasid khusus ialah rahsia di sebalik setiap hukum.Walaubagaimanapun definisi ini telah dikritik oleh Dr. Iwad bin Muhmmad al- Qarni .Beliau mengkritik pendefinisian ini dengan mengatakan bahawa perkataan rahsia adalah kurang sesuai digunakan kerana rahsia bukanlah maqasid secara mutlak.Ada kalanya sesuatu rahsia itu menjadi maqasid dan pada ketika lain ia bukanlah maqasid kepada sesuatu. (11)
(11) al-Qarni, opcit, m.s.18
Ahmad Al-Raisuni mendefinisikan maqasid sebagai “matlamat-matlamat yang ingin dicapai oleh syariat demi kepentingan umat manusia”.Beliau telah membahagikan maqasid dengan lebih teliti lagi berbanding dengan Ibn al-’Asyur iaitu dengan membahagikannya kepada tiga bahagian, iaitu maqasid umum , maqasid khusus dan maqasid serpihan (juziyy). Menurut beliau maqasid umum ialah objektif yang diambilkira oleh syara’ dalam menentukan semua atau sebahagian besar hukum syara’ , contohnya konsep keadilan dan kesamarataan (al-Musawah) yang terdapat dalam semua hukum syara’. Maqasid khusus ialah yang diambilkira oleh syariah dalam menentukan sesuatu atau beberapa kelompok hukum tertentu, contohnya hukum kekeluargaan. Manakala maqasid serpihan ialah yang diambilkira oleh syariah dalam menentukan sesuatu hukum tertentu, contohnya hukum sunat berkahwin.Namun apa yang menjadi topik perbincangan ilmu usul fiqh dan ilmu maqasid khasnya ialah maqasid umum. Manakala maqasid khusus menjadi topik perbincangan para fuqaha. (12) Jika diteliti definisi-definisi yang dikemukakan oleh para ulama tersebut, definisi yang paling tepat, padat dan merangkumi seluruh konsep maqasid ialah definisi yang dikemukakan oleh al-Raisuni.
(12) al-Raisuni, opcit, m.s.15
Kesimpulannya maqasid syariah ialah “matlamat-matlamat yang ingin dicapai oleh syariat demi kepentingan umat manusia”.
2.Istilah-istilah lain yang berkaitan dengan maqasid.
2.1)al-Hikmah
Ibn Rusyd menyifatkan maqasid sebagai hikmah pensyariatan hukum Al-hikmah membawa erti yang sama dengan maqasid. Istilah al-hikmah lebih kerap digunakan oleh fuqaha.Contohnya Ibn Farhun berkata:”Dan adapun hikmah qada ialah mengangkat kacau bilau, menolak bala bencana, mencegah orang zalim, membantu yang dizalimi, memutuskan pertikaian,menyuruh yang ma’ruf dan mencegah kemungkaran”.(13)
(13) Muhammad bin Farhun, Tabsirah al-Hukkam, Dar al-Maktabah al-Ilmiyyah, Mesir, 1301H, m.s.8
Manakala di kalangan para fuqaha, para ulama usul istilah ini merujuk samada kepada maqasid sesuatu hukum ataupun kesesuaian (relevensi) sesuatu hukum (al-makna al-munasib).Contohnya mengelakkan masyaqqah adalah hikmah kepada adanya hukum rukhsah.
2.2)Al-’illat
Ada sebahagian ulama yang menganggap bahawa maqasid itu ialah’illlah-”illat yang terkandung di dalam pensyariatan hukum. Al-Ilah ialah sifat zahir yang tekal yang ada pada sesuatu hukum syara (14).Sifat yang ada pada sesuatu hukum itu seolah-olah menggambarkan maqasid syara.Ini menjadikan al-’illat dan maqasid membawa pengertian yang sama.Atau dengan kata lain, maqasid sesuatu hukum dapat difahami daripada kefahaman terhadap ‘illatnya.Istilah ini lebih banyak digunakan di dalam bidang tafsir ayat dan hadith yang berkaitan dengan hukum-hukum syara’ (15).
(14) Wahbah al-Zuhaili, Usul al-Fiqh al-Islami, Dar al-Fikr, Dimasyq, 1986, jil.1, m.s.646
(15) al-Raisuni, opcit, m.s.17
2.3)Al-ma’na
Dari segi penggunaannya, istilah al-ma’na adalah sinonim kepada maqasid kecuali al-ma’na lebih popular digunakan oleh fuqaha terdahulu seperti al-Syatibi, al- Ghazali dan al-Tabari.
3. Pengkategorian – Pengkategorian maqasid.
Maqasid boleh dibahagikan kepada pelbagai kategori yang berbeza berdasarkan kepada perspektif yang berbeza.
3.1)Kategori maqasid berdasarkan puncanya terbahagi kepada dua: (16)
(16) al-Syatibi, al-Muwafaqat Fi Usul al-Syariah, Beirut ,Dar al-Ma’rifah, 1416H/1996M, jil: 2, m.s: 321.
3.1.1)Maqasid Syari’(Allah)
Iaitu maqasid yang diletakkan oleh Allah dalam mensyariatkan hukum. Ianya berpusat kepada menarik kebaikan dan menolak kejahatan di dunia dan di akhirat. Menurut al-Syatibi, Maqasid Syari’ terbahagi kepada empat bahagian (17):
(17) al-Syatibi, al-Muwafaqat Fi Usul al-Syariah, Beirut ,Dar al-Ma’rifah, 1416H/1996M, jil: 2, m.s: 321.
a.Tujuan Syari’ (Allah) mencipta Syariat itu sendiri.
b.Tujuan Syari’ (Allah) menciptakan Syariat untuk difahami.
c.Tujuan Syari’ (Allah) menjadikan Syariat untuk dipraktikkan.
d.Tujuan Syari’ (Allah) meletakkan mukallaf di bawah hukum Syarak.
a.Tujuan Allah mencipta Syariat.
Pada pandangan al-Syatibi, Allah mencipta syariat dengan tujuan untuk merealisasikan maqasidnya untuk sekelian manusia iaitu untuk memberikan kebaikan (maslahah) kepada mereka dan mengelakkan kerosakan / keburukan (mafsadah) daripada menimpa mereka. Menururtnya segala apa yang disyariatkan tidak terlepas daripada maqasid ini yang dibahagikan kepada tiga kategori, iaitu (18) :
(18) ibid,jil:2, m.s:326.
i) Kepentingan Asas (al-Dharuriyyat) :
Iaitu segala apa yang paling penting dalam kehidupan manusia samada bagi tujuan kebaikan agama dan hidup di dunia. Kehidupan manusia akan menjadi rosak samada di dunia atau di akhirat jika kepentingan asas ini tidak ada atau tidak dipenuhi.
ii)Keperluan Biasa (al-Hajiyat) :
Ia merupakan keperluan hidup untuk memudahkan kehidupan di dunia dan akhirat, yang mana tanpanya kehidupan manusia akan menjadi tidak sempurna dan mengalami kesempitan ataupun tidak sampai ke tahap rosak.
iii)Keperluan Mewah (al-Tahsiniyat) :
Iaitu keperluan yang tidak sampai ke tahap kedua di atas. Ianya hanya untuk tujuan keselesaan dan kecantikan. Contohnya : adat, akhlak dan etika.
Berasaskan prinsip induktif beliau membahagikan kepentingan asas kepada lima, iaitu menjaga agama, nyawa, keturunan, harta dan akal. Menurut beliau, semua agama memandang perkara ini sebagai kepentingan asas.
Menurut beliau lagi, Syariat Islam menjaga menjaga kepentingan asas ini melalui dua cara (19):
(19) Al-Syatibi, opcit, jil:2, m.s:325.
Pertama:Secara positif
Dengan menentukan hukum yang boleh melahir dan menjaga kewujudannya. Contohnya bagi menjaga agama diwujudkan akidah, ibadat, ijtihad dan sebagainya. Begitulah juga hukum – hukum adat dan muamalat diwujudkan bagi mewujudkan kesempuraan dan kebaikan hidup manusia.
Kedua:Secara negatif
Iaitu dengan menghalang apa – apa yang yang boleh menghapus, merosak atau menganggu kepentingan itu. Contohnya, diwajibkan hukum bunuh ke atas orang murtad bagi menjaga kepentingan agama, sementara hukum – hukum adat dan muamalat bagi menjaga kepentingan yang lain.
Menurut beliau lagi, yang menjadi asas kepada semua kepentingan tadi adalah kepentingan asas. Sedangkan kepeluan biasa sebagai pendokong kepadanya, sementara keperluan mewah sebagai pendokong kepada keperluan biasa. Kedudukan ini perlu diambilkira dalam menentukan keutamaan hukum atau dalam memberi keutamaan kepada mana – mana maslahah apabila berlaku percanggahan antara satu sama lain.
Berdasarkan kepada keutamaan inilah al-Syatibi membentuk lima kaedah berikut (20) :
(20) Al-Syatibi, opcit, jil:2, m.s:331.
-Kepentingan asas sebagai asas kepada keperluan biasa dan keperluan mewah. -Kerosakan kepentingan asa menyebabkan kerosakan kepada keperluan yang lain. -Tidak semestinya kerosakan keperluan lain boleh merosakkan kepentingan asas. -Kerosakan keperluan biasa atau keperluan mewah mungkin boleh menyebabkan kerosakan kepada kepentingan asas. -Wajib menjaga keperluan biasa dan keperluan mewah bagi tujuan menjaga kepeluan asas.
b. Tujuan Menjadikan Syariat untuk difahami.
Al-Syatibi menyatakan, syariat yang diturunkan oleh Allah S.W.T adalah untuk difahami oleh manusia untuk mereka melaksanakanya, jika ianya tidak dapat difahami oleh manusia, tiada erti pada penurunan syariat tersebut. Bukti mengenai kenyataan tersebut ialah penurunan al-Quran itu sendiri dalam bahasa arab sesuai dengan suasana arab lewat penurunannya dan juga isi kandungan al-Quran yang mudah difahami oleh manusia (21).
(21) opcit, jil:2, m.s:375.
c. Tujuan Allah mencipta Syariat bagi dipraktikkan.
Syariat yang diturunkan oleh Allah kepada manusia adalah untuk dipraktikkan. Tanggung jawab untuk mempraktikkannya ini dipanggil taklif. Taklif menurut al-Syatibi hendaklah mampu dipikul oleh manusia, malah para ulama telah berijma’ tiada taklif di luar kemampuan manusia (22).
(22) opcit, jil:2, m.s:414.
Oleh yang demikian, jika ada taklif yang pada zahirnya dilihat seperti tidak mampu dipikul oleh mukallaf, maqasid syariat pada kes tersebut bukan terletak kepada hasil atau natijah kepada pelaksanaannya , tetapi pada usaha untuk merealisasikannya. Seperti suruhan berlaku adil di antara para isteri bagi suami yang berpoligami, ia adalah sesuatu di luar kemampuan manusia untuk berlaku adil 100% terutamanya dalam bab kasih sayang. Oleh itu yang menjadi maqasid syara pada waktu itu ialah usaha untuk merealisasikan keadilan tersebut dan bukannya natijah daripada usaha tersebut. (23)
(23) opcit, jil:2, m.s:416.
Dalam buku “al-Muwafaqat”, al-Syatibi telah memperluaskan lagi contoh – contoh bagi kes seumpama ini (24). Beliau juga membangkitkan persoalan beban yang terhasil daripada taklif secara keseluruhannya. Kata beliau, bukanlah tujuan syariat untuk membebankan dan menyusahkan manusia (ini dapat dilihat melalui dalil – dalil yang menolak keadaan serba salah (al-haraj) dan menegaskan kemudahan serta toleransi (al- taysir dan al-samah). Walaubagaimanapun, beban yang munasabah dalam kadar yang normal hasil daripada taklif tidak dapat dielakkan, kerana itu merupakan tabiat taklif. Dengan itu , beban yang terhasil itu bukanlah maqasid syariat . Yang menjadi maqasid syariat ialah maslahah disebalik bebanan itu sendiri, samada kesenangan di dunia mahupun di akhirat menurut neraca keperluan asas yang telah diperbincangkan (25).
(24) opcit, jil:2, m.s:416 – 425.
(25) opcit, jil:2, m.s:429.
Al-Syatibi juga dalam bab ini memberikan alasan mengapa syariat Islam sentiasa menghindarkan kebersalahan (al-haraj) dan beban yang berat, yang pertamanya untuk mengelakkan kebosanan dan rasa benci mukallaf terhadap taklif dan yang keduanya, untuk menghindarkan daripada menganggu tugas – tugas hidup yang lain seperti mencari nafkah, menjaga anak isteri dan sebagainya demi untuk menumpukan perhatian kepada menyempurnakan taklif (26).
(26) opcit, jil:2, m.s:428.
Di bawah tajuk ini juga, al-Syatibi menghuraikan jenis beban atau masyaqqah yang hendak dihindarkan oleh syariat daripada manusia dan jenis yang sebaliknya.Beliau juga menegaskan bahawa berat atau ringannya masyaqqah itu adalah bersifat relatif. Ia perlu berasaskan kerja sebenar yang perlu dilakukan dan sejauhmana kepentingannya dalam hidup.
d.Tujuan meletakkan mukallaf di bawah hukum syara’.
Dalam bab ini al-Syatibi menegaskan keumuman syara’ dan sifatnya yang menyeluruh. Syariat Islam juga merangkumi alam syahadat dan alam ghaib bagi setiap mukallaf. Tegasnya lagi, tujuan meletakan mukallaf di bawah hukum Syariat ialah untuk mengelakkan semua manusia dari terikut – ikut dengan hawa nafsu agar dengan itu mereka akan menjadi hamba Allah dengan penuh sukarela (27).
(27) opcit, jil.2, m.s.425
3.1.2.Maqasid Mukallaf (hamba)
Iaitu maqasid atau tujuan mukallaf dalam melakukan sesuatu perbuatan. Maqasid mukallaf berperanan menentukan sah atau batal sesuatu amalan.
Berasaskan prinsip di atas beliau menyimpulkan beberapa kaedah, seperti berikut:
-Qasd mukallaf hendaklah selari dengan qasd syariah itu sendiri. -Sesiapa yang berhasrat untuk mencapai sesuatu yang lain daripada maksud awal pensyariatannya, sesuatu itu dianggap telah menyalahi syariat. (28)
(28) opcit, jil.2, m.s.613-615
3.2.Kategori maqasid berdasarkan tahap kepentingannya .
Pembahagian berdasarkan neraca ini merupaka pengkategorian yang paling popular di dalam ilmu ini.Pembahagian seperti ini telah dipelopori oleh al- Imam al- Haramayn di dalam bukunya al-Burhan pada peringkat awal perbincangan mengenai maqasid. Kemudian pembahagian ini menjadi ikutan kepada ulama selepas beliau seperti al-Ghazali, al-Izz bin Abdul Salam, al-Qurafi, Ibn Taimiyyah, Ibn Qayyim dan al-Syatibi yang telah mengupas persoalan ini dengan lebih mendalam.(29)
(29) opcit, jil: 2, m.s: 321
Berdasarkan neraca ini maqasid terbahagi kepada tiga:
3.2.1 Kepentingan Asas (al-Dharuriyyat) :
Iaitu segala apa yang paling penting dalam kehidupan manusia samada bagi tujuan kebaikan agama dan hidup di dunia. Kehidupan manusia akan menjadi rosak dan terancam samada di dunia atau di akhirat jika kepentingan asas ini tidak ada atau tidak dipenuhi.
3.2.2.Keperluan Biasa (al-Hajiyat) :
Ia merupakan keperluan hidup untuk memudahkan kehidupan di dunia dan akhirat, yang mana tanpanya kehidupan manusia akan menjadi tidak sempurna dan mengalami kesempitan alaupun tidak sampai ke tahap rosak.
3.2.3.Keperluan Mewah (al-Tahsiniyat) :
Iaitu keperluan yang tidak sampai ke tahap kedua di atas. Ianya hanya untuk tujuan keselesaan dan kecantikan. Contohnya : adat, akhlak dan etika.
3.3.Kategori maqasid berdasarkan perkaitannya dengan hukum secara umum atau sebahagiannya terbahagi kepada tiga:
3.3.1 Maqasid umum (maqasid ammah)
Iaitu yang diambilkira oleh syariah dalam menentukan semua atau sebahagian besar hukum-hukumnya.Contohnya menegakkan keadilan, menghasilkan kebaikan, menolak keburukan dan kesamarataan antara manusia.(30)
(30) Muhammad Uqlah, al-Islam Maqasiduhu wa Khasaisuhu, Maktabah al-Risalah al-Hadisah, 1991, m.s.112
3.3.2 Maqasid khusus (maqasid khassah)
Iaitu yang diambilkira oleh syariah dalam menentukan sesuatu atau sekelompok hukum-hukum tertentu.Contohnya hukum-hukum muamalat, munakahat, jenayah dan sebagainya.(31)
(31) Al-Risuni, opcit, m.s.15
3.3.3 Maqasid serpihan (maqasid juz’iyyah) (32)
Iaitu yang diambilkira oleh syariah dalam menentukan sesuatu hukum tertentu.Contohnya sunat berkahwin, makruh bercerai dan wajib membayar hutang.
(32) ibid, m.s.16
4.Faedah-faedah memahami maqasid
Memahami maqasid syara’ merupakan unsur penting dalam mengeluarkan hukum.Ini kerana maqasid ialah paksi yang akan memastikan setiap hukum itu akan seiring dengan kehendak dan matlamat Allah mensyariatkannya ke atas manusia. Dengan memahami maqasid atau maqasid syara’ dapat menjelaskan lagi tujuan dan hikmah pensyariatan sesuatu hukum samada secara keseluruhannya atau sebahagiannya.
Selain itu ia juga dapat memperkembangkan lagi topik-topik perbincangan di dalam perkara-perkara ilmu maqasid seperti maslahah , qiyas, zarai’e dan sebagainya.
Apa yang menarik ialah jurang perselisihan pendapat antara fuqaha dapat dikurangkan lantas membuang perasaan taasub mazhab yang sebenarnya merugikan umat sendiri. Apa yang penting dalam setiap hukum yang dikeluarkan ialah ianya dapat mencapai dan selari dengan maqasid syara’.
Akhirnya, memahami maqasid akan meyakinkan lagi bahawa islam itu datang untuk memberi maslahah dan kebaikan kepada manusia di dunia dan di akhirat.Justeru, individu muslim akan lebih rasional dan bersemangat dalam melakukan suruhan Allah Taala. (33)
(33) Nuruddin Mukhtar al-Khadimi, opcit, m.s.59
5.Kaedah mengenali maqasid
Untuk menentukan sesuatu itu adalah maqasid yang dikehendaki oleh syari’ bukanlah satu perkara yang mudah.Oleh itu ulama telah menggariskan beberapa kaedah untuk mengenali maqasid syara’ Menurut al-Syatibi , terdapat tiga cara untuk kita mengenali maqasid syara’ (34).
(34) al-Syatibi,opcit, jil.2, m.s.241
5.1. Penelitian kuantitatif.
Umumnya kaedah ini melibatkan penelitian secara deduktif terhadap dalil-dalil yang mensabitkan maqasid syara’. Penelitian ini boleh berlaku dalam dua keadaan samada penelitian terhadap semua dalil yang ada ataupun sebahagian daripadanya.Penelitian terhadap semua dalil sudah tentu akan menghasilkan natijah yang qat’ie manakala penelitian terhadap sebahagiannya pula akan menghasilkan natijah yang zanni.kaedah kedua ini lebih popular digunakan oleh fuqaha.Kesahihan kaedah ini terletak pada hakikat bahawa ia boleh memberi maklumat secara terperinci.(35)
(35) al-Syatibi, opcit, jil.2, m.s.241
5.2. Penelitian terhadap ilat hukum.
Kaedah ini melibatkan penelitian terhadap ilat-ilat hukum-hukum syara’.Kaedah ini tertumpu kepada usahsa untuk mengetahui rahsia di sebalik setiap hukum atau lebih dikenali sebagai masalik al-’illat di dalam ilmu usul fiqh.Secara umumnya terdapat sembilan cara untuk menentukan ilat sesuatu hukum iaitu ijma’ ulama terhadap sesuatu ‘illat, nas al-Quran, isyarat, kemunasabahan, memerhatikan keserupaan antara hukum dan sebagainya. (36)
(36) al-Syaukani, Irsyad al-Fuhul, Beirut ,Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 1994M, m.s.308
5.3. Penelitian terhadap semata-mata suruhan atau larangan Allah Taala terhadap sesuatu.
Kaedah ini berasaskan kepada bahawa boleh difahami ada maqasid tertentu di sebalik suruhan dan larangan .Maqasid di sebalik suruhan ialah melakukannya sementara maqasid di sebalik larangan ialah meninggalkan yang dilarang itu.(37)
(37) al-Syatibi, opcit, jil.2, m.s.241
KEDUA :KEDUDUKAN MAQASID SYARA’ DALAM MENILAI SESUATU
1. Kedudukan maqasid menurut perspektif syara’
Sebagaimana yang telah dimaklumkan ,sesungguhnya dalil-dalil syariat Islam menegaskan bahawa setiap hukum-hukumnya mempunyai maqasid dan maksud yang tertentu (38). Sehubungan dengan itu, sudah menjadi makluman umum bahawa sesungguhnya tujuan pensyariatan itu ialah untuk kemaslahatan manusia di dunia dan di akhirat. (39)
(38) Mohammad al-Tahir al-Misawi, opcit , m.s.118
(39) Wahbah al-Zuhaili, Usul al-Fiqh al-Islami, Damsyik, Dar al-Fikr, 1986M, jil.2, m.s.1017
Maqasid syara’ merupakan kayu ukur dalam menilai sesuatu.Dengan kata lain, dalam memahami sesuatu hukum ianya mestilah seiring dengan maqasid yang telah digariskan oleh syara’.Fenomena ini jelas dilihat di dalam al-Quran.dan al-Sunnah..
Jumhur ulama telah berpendapat bahawa hukum-hukum syara’ mengandungi hikmah dan maqasidnya yang tersendiri yang mana ianya berkisar tentang menjaga kemaslahatan manusia di dunia dan di akhirat (40). Pengamatan terhadap hukum-hukum ini telah menghasilkan satu jalinan kaitan yang rapat antara hukum syara’ dan maqasidnya. (41)
(40) Yusuf al-Qardawi, Madkhal li Dirasat al-Syariah al-Islamiyyah, Beirut, Muassasah al-Risalah, 1993M, m.s.57
(41) al-Misawi, opcit, m.s.82
Justeru dalam proses memahami hukum, seorang faqih bukan sahaja perlu memahami dalil-dalil hukum tersebut, malah perlu memandang lebih jauh lagi iaitu aspek maqasid hukum tersebut disyariatkan. Malah tidak keterlaluan jika dikatakan hukum fiqh tanpa maqasid sama seperti jasad yang tiada ruhnya.
Antara dalil-dalil yang mengukuhkan kedudukan maqasid sebagai hujah yang mengikat ialah:
a) Al-Quran al-Karim :
Al-Quran al-Karim yang merupakan sumber primer maqasid syara’ samada secara langsung ataupun tidak, telah mengajar pengamalnya tentang setiap perkara itu haruslah bermatlamat. Daripada al-Quran kita dapat mengetahui maqasid pengutusan rasul-rasul, penurunan al-Quran, pentaklifan mukallaf dengan tanggungjawab dan pembalasannya dan maqasid kejadian alam dan manusia .Al-Quran telah menjelaskan maqasid penciptaan manusia ialah untuk pengabdian kepada Allah.
Al-Quran juga telah mengisbatkan prinsip utama islam diturunkan iaitu untuk menjaga agama, jiwa, akal ,keturunan dan harta.Jika diteliti kesemua hukum islam beredar di bawah naungan lima prinsip utama ini (42).
(42) al-Misawi, opcit, m.s.80
Al-Quran juga telah menentukan banyak maqasid dan hikmah sesuatu hukum disyariatkan yang seterusnya membentuk teori maqasid itu sendiri.Contohnya Maqasid larangan bersetubuh dengan isteri ketika haid ialah untuk mengelakkan penyakit, maqasid ibadat haji ialah mendapat faedah yang banyak antaranya penyatuan umat islam , maqasid perkahwinan ialah memelihara diri , dapat hidup dalam kasih sayang dan keharmonian, maqasid ibadat puasa ialah menjana sifat ketakwaan, maqasid larangan mendekati zina ialah kerana buruk akibatnya dan lain-lain maqasid yang banyak dinyatakan di dalam al-Quran. (43)
(43) Nuruddin Mukhtar, opcit, m.s.69
Daripada al-Quran juga satu rumusan tentang berbagai kaedah fiqh “qawaid fiqhiyyah” dapat dibentuk .Kaedah fiqh ini penting dalam memahami hukum dan mempunyai kaitan rapat dengan maqasid syar’iyyah itu sendiri (44). Antaranya “Darurat (kes kesusahan )mengharuskan yang haram” , “setiap kesusahan atau masyaqqah itu diukur dengan seada-adanya”, “setiap kesusahan ada kesenangannya”, Ini bermakna maqasid mempunyai kedudukan yang kukuh dan nilai autoriti yang kuat dalam menilai sesuatu. (45)
(44) Muhammad Sidqi al-Borno, al-Wajiz fi Idhah Qawaid al-Fiqh al-Kulliyyah, Beirut, Muassasah al-Risalah, 1996M, m.s.30
(45) Muhammad al-Zuhayli, Maqasid al-Syariah, Damsyik, Dar al-Maktabi, 1998M, m.s.43
Hukum-hukum syara’ bukan diturunkan secara serentak dan pelaksanaannya juga adalah secara berperingkat-peringkat.Ini semua tidak lain dan tidak bukan ialah untuk memastikan sesuatu hukum itu akan sampai kepada matlamat ianya disyariatkan. (46) Sesuatu hukum tidak akan mencapai maqasidnya seikiranya dijalankan pada masa yang salah atau dalam keadaan umat yang masih belum dapat menerima hukum itu.Contohnya pengharaman arak adalah secara berperingkat-peringkat ialah untuk memlihara maslahat umat pada ketika itu yang mana minuman arak adalah adat yang sukar untuk ditinggalkan secara sekaligus.Jika pengharaman dibuat secara drastik, kemungkinan umat islam pada ketika itu tidak dapat mentaati larangan Allah itu dan maqasid pengharamannya tidak dapat dicapai.
(46) Mana’ al-Qutan, Tarikh al-Tasyri’ al-Islami, Beirut, Muassasah al-Risalah, 1993M, m.s.52
Jika diteliti ayat-ayat yang berkait dengan hukum-hukum fiqh, boleh dikatakan ada terselit maqasid di sebalik pensyariatan hukum tersebut.Bukan setakat itu sahaja, ilmu usul fiqh pula telah menyediakan pelbagai instrumen seperti qiyas dan al-zarai’ yang boleh digunakan untuk meluaskan lagi aplikasi objekif di dalam sesuatu hukum kepada hukum yang lain.Walaupun tidak ada dalil yang khusus di dalam al-Quran yang menyatakan setiap hukum ada maqasidnya tetapi berdasarkan dalil-dalil secara umumnya dapat kita simpulkan bahawa al-Quran sentiasa mengambilkira aspek maqasid dalam menyatakan sesuatu hukum.(47)
(47) Nuruddin Mukhtar, opcit, m.s.72
b) Al-Sunnah sebagai sumber kedua terpenting selepas al-Quran mempunyai peranan penting dalam menguatkan lagi apa yang dibawa oleh al-Quran, mentafsirkan al- Quran, menjelaskan dan menghuraikannya agar lebih jelas dan mudah dipraktikkan. Begitu juga di dalam bidang maqasid, al-Sunnah berperanan menguatkan lagi kedudukan maqasid dalam menilai sesuatu.Banyak al-sunnah yang menerangkan tentang sesuatu hukum turut menekankan aspek maqasid hukum tersebut.(48) Contohnya hadith Rasulullah S.A.W. yang bermaksud : ” Sesungguhnya agama itu mudah” (49) Dalam hadith ini, dengan jelas ianya menunjukkan antara maqasid atau objektif syariat, iaitu memudahkan ummat, tidak membebankan dan senang untuk diamalkan. Begitu juga dengan sabda baginda : “Rasulullah S.A.W jika diberikan peluang untuk memilih antara dua perkara, maka baginda tidak akan memilih kecuali yang paling mudah selagimana ianya tidak berdosa..” (50) Ianya membawa objektif bahawa islam amat mementingkan kemudahan kepada umatnya. Dalam hadith yang lain pula, Rasulullah S.A.W bersabda : “Jika tidak kerana menyusahkan umatku nescaya sudah aku suruh mereka bersiwak untuk setiap kali solat” (51). Dari hadith ini jelas menunjukkan syariat islam bukan bertujuan untuk menyusahkan umat malah menyenangkan dan memastikan kemaslahatan mereka terjamin.
(48) Yusuf al-Qardawi, al-Sunnah Masdaran li al-ma’rifah wa al-hadarah, Dar al-Syuruq, Kaherah, 1997, m.s.231
(49) Hadith sahih riwayat al-Bukhari, lihat : al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, jil. 1, m.s. 23.
(50) Hadith riwayat al-Bukhari, lihat : al-Bukhari, opcit, jil. 3, m.s. 305.
(51) Hadith sahih riwayat al-Bukhari, al-Bukhari, opcit, jil. 2, m.s. 682.
Autoriti maqasid syara’ dalam menilai sesuatu tidak perlu dipertikaikan lagi kerana maqasid syara’ bukanlah sesuatu yang asing dari dalil-dalil syara’ malah ianya terkandung di dalam dalil-dalil itu sendiri samada secara langsung atau tidak.(52) Hasil penelitian secara kuantitatif dan deduktif terhadap dalil-dalil ini menunjukkan setiap hukum yang disyariatkan mempunyai maqasid yang tersendiri yang akhirnya tertumpu kepada menjaga kemaslahatan manusia sejagat. (53)
(52) Muhammad Fathi al-Duraini, al-Manahij al-usuliyyah, m.s.48
(53) Ramadan al-Buti, Dawabit al-Maslahah, Beirut, Muassasah al-Risalah, 1990M, m.s.70.
c) Jika ditinjau pada zaman sahabat, mereka telah mengaplikasikan konsep maqasid syara’ di dalam setiap ijtihad yang mereka lakukan (54).Jika dibandingkan dengan zaman Rasulullah S.A.W. penggunaan konsep ini agak lebih meluas memandangkan banyak perkara-perkara baru yang tiada nas mula timbul hasil daripada peredaran zaman dan perkembangan semasa. (55)
(54) Yusuf al-Qardawi, al-Sunnah Masdaran li al-ma’rifah wa al-hadarah, Kaherah, Dar al-Syuruq, 1997M, m.s.232.
(55) Nuruddin Mukhtar, opcit, m.s.92.
Kefahaman para sahabat terhadap al-Quran adalah istimewa berbanding dengan kefahaman orang lain kerana mereka bukan sahaja memahami zahir al-Quran malah menjangkau tujuan di sebalik penurunannya itu.
Justeru kita dapati ijtihad-ijtihad mereka bertepatan dengan kehendak syara’ untuk menjamin kemaslahatan umat sejagat.Ahmad b. Hanbal menegaskan perbuatan para sahabat ini berpunca daripada pemahaman mereka tentang maqasid syara’ itu sendiri. Antara contoh yang jelas ialah ijtihad mereka untuk mengumpulkan al-Quran di dalam satu mashaf, menjatuhkan talak tiga dengan satu lafaz, tidak membahagikan tanah rampasan perang kepada tentera dan banyak lagi.(56)
(56) ibid, m.s.96
Begitu juga keadaannya pada zaman tabi’in yang sempat hidup bersama sahabat.Mereka mewarisi secara praktikal pengambilkiraan maqasid syara’ dalam mengeluarkan hukum yang berpusat kepada menarik maslahah dan menolak mafsadah.(57)
(57) Abdul Karim Zaidan, al-Madkhal li Dirasati al-Syariah al-Islamiyyah, Beirut, Muassasah al-Risalah, 1990M, m.s.114
Seterusnya corak berijtihad seumpama ini diwarisi sehingga ke zaman imam mujtahid dan hari ini.
d) Hakikat ini telah diperakui oleh jumhur ulama usul dan furu’ lebih lebih lagi apabila ulama usul telah mensyaratkan untuk seorang mujtahid melakukan ijtihad mestilah memahami maqasid syar’iyyah. Sehubungan dengan itu, pentafsiran nas secara lateral semata-mata a tanpa melihat kepada maqasid syara’ di sebaliknya adalah bertentangan dengan tabiat tasyri’itu sendiri (58).
(58) Al-Duraini, opcit, m.s.49
Al-Qurafi bukan sahaja mensyaratkan mujtahid memahami maqasid syara’, malah faqih muqallid juga mesti memahami maqasid syara’. (59)
(59) Dinukilkan oleh:al-Raisuni, opcit, m.s.290
Al-Imam al-Syafi’e mengambil langkah merujuk kepada maqasid syara’ sebagai satu kaedah dalam berijtihad apabila tiada nas dari al-Quran atau al-Sunnah atau hadith ahad .Seterusnya, sekiranya beliau tidak mendapati apa-apa maslahah umum atau kepentingan umum beliau akan berpindah kepada sumber ijma’.Al-Imam al-Ghazali juga mengambilkira aspek maslahah sekiranya ada tanda-tanda ianya adalah maqasid syara’.(60)
(60) al-Ghazali, al-Mankhul, Tahqiq:Muhammad Hasan Hito, Beirut, Dar al-Fikr, 1400H, m.s.355
Para ulama usul umumnya menyentuh kedudukan maqasid syara’ dalam membuat apa-apa penilaian apabila mereka membincangkan masalah tarjih.Menurut mereka dalam proses mentarjih antara pendapat ulama ada beberapa neraca antaranya lebih memudahkan manusia dan lebih hampir dengan maqasid syara’. (61)
(61) Yusuf al-Qardawi, al-Ijtihad al-Muasir baina al-Indibat wa al-Infirat, Kaherah, Dar al-Tauzi’, 1994M, m.s.20
Al-Imam al-Syatibi dilihat lebih tegas dalam hal ini apabila beliau menyifatkan mujtahid yang cuai dalam aspek maqasid syara’ sebagai ulama yang menyeleweng dari agama (62). Menurut beliau , memahami maqasid syara’ adalah prasyarat utama dalam berijtihad. (63)
(62) al-Syatibi, opcit, jil.4, m.s.170
(63) Dr. Qutub Mustafa Sanu, Adawat al-Nazar al-Ijtihadi al-Mansyud, Beirut, Dar al-Fikr, m.s.83
Menurut Ilal al-Fasi, peranan maqasid syara’ bukan sahaja pada kes-kes yang tidak dinaskan malah menjangkaui huku-hukum yang dinaskan sebagaimana yang berlaku dalam kes penundaan Umar hukum hudud bagi mencuri pada tahun kelaparan.
Ibn A’syur pula bersependapat sedemikian dan mengukuhkan kepentingan memahami maqasid syara’ dalam mengeluarkan hukum.Menurut beliau,proses untuk melakukan ijtihad lima perkara:
a)Memahami nas berdasarkan pengertian bahasa dan istilah syara’.
b)Meneliti kemungkinan nas berkenaan dinasakh atau ditaqyid atau di takhsis atau ada nas lain yang lebih utama daripadanya.
c)Mengenali ‘illat hukum dan melakukan qiyas berasaskannya.
d)Menentukan hukum bagi kes yang tidak dinaskan dengan menggunakan kaedah qiyas.
e)Menentukan hukum ta’abbudi seada-adanya.
Menurut beliau, seorang mujtahid perlu memahami maqasid syara’ dalam semua peringkat di atas. (64)
(64) al-Misawi, opcit,m.s.119.
Menurut Dr. Yusuf Hamid al-Alim, “memahami maqasid syara’ bukan sahaja penting bagi mujtahid malah meliputi semua mukallaf agar kehendak mereka dalam tindak tanduk mereka selari dengan kehendak syara’”. (65)
(65) Yusuf Hamid al-Alim, al-Maqasid al-Aamah li al-Syariah al-Islamiyyah, USA, al-Maahad al-Alami li al-Fikr al-Islami, 1991, m.s.106
2. Kaedah Pengaplikasian Maqasid.
Selepas memahami makna sebenar maqasid, hakikatnya dan juga kedudukannya dalam syariat, tindakan selanjutnya pula ialah melihat kepada pengaplikasiannya terhadap hukum – hukum ijtihad. Ini kerana memahami maqasid adalah di antara syarat terpenting bagi seorang mujtahid untuk berijtihad dan bagi seorang mufti untuk berfatwa (66) menurut al-Syatibi dan diiktiraf oleh jumhur ulama terkemudian. Ini kerana sebarang ijtihad dan fatwa yang sepi daripada maqasid akan menyebabkan penyimpangan ijtihad ataupun fatwa tersebut daripada landasan syariat, kerana maqasid seperti yang telah kita katakana – ialah himpunan pemahaman terhadap sejumlah besar daripada dalil – dalil syara’.
(66) Lihat : al-Syatibi, opcit, jil. 4, m.s. 105,106.
Pengaplikasian maqasid dalam ijtihad juga amat penting kerana ianya akan menuju ruh syara’ yang bertepatan dengan tabiat dalil – dalil dan syariat itu sendiri yang sentiasa mengambilkira persoalan menjaga kemaskahatan ummah dan mengelakkan mereka daripada mudharat. Prinsip ini juga merupakan asas atau tunjang kepada tasyri’ itu sendiri (67). Oleh itu pengaplikasian ini amat – amat penting.
(67) opcit, jil. 1, m.s. 10.
Peringkat pengaplikasian maqasid pula boleh kita bahagikan kepada empat peringkat : (68)
1.Memahami maqasid juz’i ataupun illat hukum dan menetapkannya. 2.Melihat kepada pengaplikasian maqasid juz’i atau hukum lain yang boleh diaplikasikan ke atasnya maqasid tersebut. 3.Memahami maqasid kulliy dan menetapkannya dalam semua keadaan hukum melalui kaedah deduktif. 4.Melihat kepada kes – kes baru yang memerlukan hukum dan mempertimbangkannya menurut neraca maqasid kulliy melalui kaedah masalih mursalah dan istihsan, sehingalah mujtahid sampai kepada hukum yang benar – benar menepati maqasid tersebut.
(68) al-Khadimi, opcit, m.s. 62,
Dalam kes ini, Ibn Asyur telah mengkhususkan satu tajuk dalam bukunya yang beliau namakan sebagai : “Hukum – hakam Syara’ yang boleh menerima kaedah qiyas berdasarkan illat – illat dan maqasid yang rapat dan paling hampir dengannya”. (69)
(69) Lihat : Ibn Asyur, opcit, m.s. 108.
PENUTUP
Maqasid Syara’ atau lebih popular dengan istilah maqasid syar’iyyah merupakan matlamat-matlamat yang ingin dicapai oleh syara’ dalam pensyariatan hukum.Umumnya maqasid ini tertumpu kepada menarik maslahah dan menolak mafsadah daripada manusia sejagat.
Maqasid syariah merupakan penaung kepada dalil-dalil syara’, ia bukannya sesuatu yang asing dari dalil-dalil syara’ malah terkandung di dalamnya samada secara langsung atau tidak.
Islam sebagai satu cara hidup adalah sesuai untuk semua bangsa dan setiap ketika bersumberkan wahyu yang berupa dalil-dalil yang terkandung di dalam al-Quran dan al- Sunnah.Dalil-dalil yang terbatas kuantitinya tidak akan terbatas aplikasinya sekiranya seorang mujtahid itu tidak hanya memahami dalil secara lateral semata-mata , malah melihat kepada aspek maqasid syara’ di sebalik pensyariatan sesuatu hukum.
Justeru, kepentingan memahami maqasid syara’ bagi seorang mujtahid dan pengkaji hukum tidak boleh dikesampingkan untuk memastikan penilaian yang dibuat terhadap sesuatu itu selari dengan kehendak al-Syari’ .
BIBLIOGRAFI
1.Abdul Karim Zaidan, al-Madkhal li Dirasati al-Syariah al-Islamiyyah, Beirut, Muassasah al-Risalah, 1990M.
2.Ahmad al-Raisuni, Nazariyyat al-Maqasid I’nda al-Imam al-Syatibi, Beirut, al- Maahad al-Alami li al-Fikr al-Islami, 1992M.
3.al-Ghazali, al-Mankhul, Tahqiq:Muhammad Hasan Hito, Beirut, Dar al-Fikr, 1400H.
4.Ibn Qayyim al-Jauziyyah, I’lam al-Muwaqqi’in, Beirut, Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 1996M.
5.I’wad bi Muhammad al-Qarni, al-Mukhtasar al-Wajiz fi Maqasid al-Tasyri’, Jeddah, Dar al-andalus al-Khadra’, 1419H
6.Al-Izz bin Abdul Salam, Qawaid al-Ahkam fi Masalih al-Anam, Beirut,Dar al- Ma’rifah.
7.Mana’ al-Qutan, Tarikh al-Tasyri’ al-Islami, Beirut, Muassasah al-Risalah, 1993M.
8.Mohammad al-Tahir al-Misawi, Ibn Asyur wa Kitabuhu Maqasid al-Syariah al- Islamiyyah, Kuala Lumpur, Al-Basyair li al-Intaj al-Ilmi, 1998M.
9.Muhammad bin Farhun, Tabsirah al-Hukkam, Mesir, Dar al-Maktabah al-Ilmiyyah, 1301H.
10.Muhammad Fathi al-Duraini, al-Manahij al-usuliyyah, Beirut, Muassasah al-Risalah, 1997.
11.Muhammad Sidqi al-Borno, al-Wajiz fi Idhah Qawaid al-Fiqh al-Kulliyyah, Muassasah al-Risalah, Beirut, 1996M.
12.Muhammad Uqlah, al-Islam Maqasiduhu wa Khasaisuhu, Amman, Maktabah al- Risalah al-Hadisah, 1991M.
13.Muhammad al-Zuhayli, Maqasid al-Syariah, Dar al-Maktabi, Damsyik, 1998M.
14.Nuruddin Mukhtar al-Khadimi, al-Ijtihad al-Maqasidi,Qatar , 1998M.
15.Dr. Qutub Mustafa Sanu, Adawat al-Nazar al-Ijtihadi al-Mansyud, Beirut, Dar al- Fikr, 2000M.
16.Ramadan al-Buti, Dawabit al-Maslahah, Beirut, Muassasah al-Risalah, 1990M.
17.al-Syatibi, al-Muwafaqat, Beirut, Dar al-Ma’rifah, 1996M.
18.al-Syaukani, Irsyad al-Fuhul, Beirut, Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 1994M.
19.Wahbah al-Zuhaili, Usul al-Fiqh al-Islami, Damsyik, Dar al-Fikr, 1986M.
20.Yusuf Hamid al-Alim, al-Maqasid al-Aamah li al-Syariah al-Islamiyyah, USA, al- Maahad al-Alami li al-Fikr al-Islami, 1991M.
21.Yusuf al-Qardawi, al-Ijtihad al-Muasir baina al-Indibat wa al-Infirat, Kaherah, Dar al-Tauzi’, 1994M.
22.Yusuf al-Qardawi, Madkhal li Dirasat al-Syariah al-Islamiyyah, Beirut, Muassasah al-Risalah, 1993M.
23.Yusuf al-Qardawi, al-Sunnah Masdaran li al-ma’rifah wa al-hadarah, Kaherah, Dar al-Syuruq, 1997M.
http://fikrah.interaktif.tripod.com/Agama/maqasid.htm
]]>Kadang-kadang berdiam diri lebih baik menutur banyak kata, sedangkan kata-kata itu hanya menyakitkan hati insan.
]]>
PENERANGAN
نعم (ni’am) adalah kata jamak bagi نعمة (ni’mah). Nikmat-nikmat Allah kepada kita manusia ini terlalu banyak. Dengan berterima kasih kepada-Nya, kita seseolah mengikat nikmat itu agar dia tidak terlepas dari kita. Dalam Al Quran, Allah ada mengingatkan bahawa kalau bersyukur, nikmat akan ditambahkan (surah Ibrahim : ayat 7)
